Mining Bitcoin Cash

Adat Perkahwinan Yang Selari Dengan Tuntutan Islam

Perkahwinan merupakan perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Perkahwinan dianggap sebagai tali penyambung dalam menghubungkan dua manusia secara halal sehingga mendapat zuriat. Sistem perkahwinan orang Melayu secara dasarnya banyak menurut adat-adat masyarakat dahulu yang berkaitan dengan adat-adat orang Hindu. Namun dengan kedatangan Islam, banyak perubahan yang berlaku selaras dengan perubahan taraf kehidupan dan perubahan fikiran orang Melayu amnya. Walau bagaimanapun, akibat daripada amalan yang sudah lama dituruti dan telah bersemadi dalam kehidupan orang Melayu, terdapat adat yang masih kekal dan diikuti tetapi sudah ada perubahan, ditambah atau diringkaskan untuk selari dengan ajaran islam.

Agama Islam adalah sebuah agama yang bersifat syumulliyah dan universal. Maka, agama Islam sememangnya merupakan agama yang bercorak konvensional iaitu yang boleh diterima umum. Kita perlu faham bahawa Islam bukanlah agama yang diwahyukan untuk bangsa Arab sahaja bahkan Islam adalah agama yang relevan untuk semua bangsa di dunia ini. Oleh itu, Islam bukanlah dilihat sebagai agama yang menghapuskan kebudayaan sesuatu bangsa jika bangsa tersebut memilih Islam sebagai agamanya. Hal ini kerana, antara faktor yang menyebabkan agama Islam berkembang kepada setiap bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Begitulah juga halnya dalam soal upacara perkahwinan. Masyarakat Melayu sememangnya bebas untuk mengadakan upacara perkahwinan berdasarkan budaya dan adat mereka berdasarkan hadis sahih bukhari jilid iv:

“Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW. melihat banyak wanita dan anak-anak kembali dari suatu pesta perkahwinan. Lalu beliau berdiri lama-lama degan gembira, seraya berkata: “Hai Tuhan! Kamu ini semua adalah termasuk orang-orang yang paling saya cintai” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jelaslah disini bahawa islam tidak melarang mana-mana adat di dunia ini selagi ianya tidak melanggar hukum syarak.

Menurut Kamus Dewan (1997), adat bermaksud peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Manakala istiadat pula bermaksud berbagai-bagai adat yang diikuti. Jika dahulu masyarakat melayu hanya mengikut adat nenek moyang sahaja namun kini menteliti masyarakat melayu telah berubah seiring dengan perkembangan dan kemajuan yang dikecapi negara kita. Persoalanya adakah adat perkahwinan dewasa ini selari dengan tuntutan syariat Islam?

Adat-adat perkahwinan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Melayu ialah merisik, meminang, bertunang, majlis akad nikah, bersanding, dan walimatul urus iaitu majlis perkahwinan. Secara dasarnya perkahwinan orang Melayu dewasa ini selari dengan tuntutan Islam walau bagaimanapun, ada sebahagian upacara yang diadakan di dalam adat perkahwinan itu yang bercanggah dengan ajaran islam. Adat Meminang merupakan adat kebiasaan masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan dan merupakan suatu ikatan janji pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang. Pemberian seperti cincin kepada wanita semasa peminangan merupakan tanda ikatan pertunangan. Apabila berlaku keingkaran yang disebabkan oleh lelaki, pemberian tidak perlu dikembalikan dan jika disebabkan oleh wanita, maka hendaklah dikembalikan, namun persetujuan hendaklah dibuat semasa peminangan dilakukan.Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut. Menurut ustazah Marina Munira binti Abdul Muttalib dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amalan bertunang di dalam islam dipanggil khitabah dan ianya sama sekali tidak bertentangan dengan syariat islam tetapi apa yang berlaku sekarang ialah ada segelintir masyarakat yang bakal pengantin lelaki itu sendiri yang menyarungkan cincin kepada pasangannya. Hal ini jelas bertentangan dengan ajaran islam kerana mereka berdua lagi bukan muhrim.

Adat persandingan dilihat sebagai suatu perkara yang “wajib” bagi satu pasangan apabila berkahwin dari kaca mata kebanyakan masyarakat Melayu. Persandingan dalam masyarakat Melayu dapat ditakrifkan sebagai suatu perlakuan yang menempatkan pasangan suami-isteri yang telah diijab-kabulkan di atas pelamin yang dihias indah dengan mengenakan pakaian yang kemas dan cantik, berhias wajah serta dikipas oleh dua orang pengipas yang turut dikenali sebagai pengampit. Tujuan diadakan adat persandingan adalah untuk diperlihatkan pasangan pengantin tersebut kepada masyarakat setempat dan sebagai nostalgia manis dalam kehidupan pasangan pengantin tersebut selain bertujuan meneruskan tradisi nenek moyang secara turun-temurun.

Ustaz Syed Salim bin Syed hussin dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM berkata demi meraikan adat, Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan beberapa syarat iaitu hendaklah disandingkan secara tertutup di hadapan muhrim atau keluarga terdekat dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat sahaja. Walau bagaimanapun, jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan atau untuk mengisytiharkan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin atau para jemputan mestilah menutup aurat serta tidak berhias dengan keterlaluan kecuali perhiasan yang biasa dilihat.Terdapat beberapa upacara tertentu yang menimbulkan sedikit kontroversi dalam adat persandingan ini. Antara upacara tersebut ialah upacara menabur beras kunyit, membaca jampi mentera, berandam, berhias untuk dipamerkan (tabarruj), mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran, menjadikan wang atau hadiah sebagai suatu kemestian, mas kahwin dan hantaran yang mahal, dan lain-lain lagi. Upacara-upacara yang sedemikian rupalah yang menyebabkan adat persandingan masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan isu khurafat, tahyul serta pembaziran. Oleh itu, upacara persandingan dalam masyarakat Melayu perlu dijalankan berlandaskan lunas-lunas Islam agar ia tidak membawa kepada kemurkaan Allah. Islam bukanlah seperti pendapat yang dilahirkanan oleh Niccolo Macmeivili yang mengatakan konsep “niat menghalalkan cara”. Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.

“Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram” menurut Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu’asirat dan Halal & Haram fil Islam, halaman 36.

Selain dari itu, upacara perkahwinan yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu melibatkan perbelanjaan yang banyak dan besar. Situasi ini sememangnya mendorong kepada gejala pembaziran dalam masyarakat. Menurut Asma Farhana binti Anuar pelajar tahun akhir jurusan Usuluddin Universiti Malaya (UM) kebanyakan orang Melayu menganggap upacara walimah perlu dianjurkan secara besar-besaran kerana upacara ini hanya dilangsungkan sekali dalam seumur hidup. Oleh itu, perkara ini pada pandangan mereka tidak salah walaupun ia melibatkan isu pembaziran. Gejala ini dari perspektif Islam sememangnya tidak dianjurkan. Hal ini kerana, selain mewujudkan gejala pembaziran, gejala ini juga mampu memberikan pelbagai implikasi yang negatif dalam kehidupan masyarakat. Contohnya sifat riak dan takbur mungkin akan berleluasa dalam diri masyarakat. Pepatah Melayu yang berbunyi “biar papa asal bergaya” sememangnya tidak sesuai dijadikan pendirian dalam kehidupan kita. Islam merupakan agama yang mudah dan senang. Membicarakan isu walimah daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi : “Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam)” (Hadis Riwayat Bukhari)Berdasarkan hadis ini, walimah daripada konteks Islam tidaklah memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan. Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang membazir dalam setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat Al-Quran:“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau membazir(pemboros) dengan melampau (Surah Al-Isra:26)



Di samping itu, perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas’ud:

“Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”

Menurut Abu Thohib bin Ahmat 70 tahun, amalan andaman yang mengarut dan salah disisi syariat islam seperti menepung tawar dengan tujuan memelihara pasangan pengantin daripada gangguan mahkluk halus, bercukur yang melibatan percukuran bulu pada bahagian anak rambut, muka, leher dan tangan dengan tujuan untuk menaikkan seri muka, melangir iaitu menyapukan bedak sejuk yang dibasuh dengan air ke bahagian badan yang dicukur dan bermandi bunga dan limau dengan harapan untuk membuang sial tidak lagi diamalkan sekarang. Walau bagaimanapun akhir-akhir ini telah timbul satu fomonena baru dimana juru andam atau lebih dikenali sebagai mak andam yang terdiri dari kaum lelaki lembut atau lebih glamour dipangggil ‘mak nyah’. Hal ini jelas bertentangan dengan syariat Islam kerana aurat perempuan tidak boleh dipertontonkan kepada orang yang bukan muhrim.

Berinai adalah salah satu amalan semasa perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi saw tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra :

”Nabi melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi pun bersabda,” jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dgn inai).” (Abu Daud, 4166) dan (an-Nasa’iy 5092)

Haji Mohd Yusof Abdul Ghani, Hakim Syarie, Mahkamah Tinggi Pahang berkata ” memakai inai tidak salah selagi ianya tidak dipakai untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah “. Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

“Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi saw melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Za’faran (kuma-kuma) adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum. Dilarang memakai za’faran (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za’faran dari segi mengeluarkan warna dan bau. Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam islam dibolehkan berdasarkan hadis:

”Dalam riwayat al-Bukhari daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan.

Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda:

” Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”

Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Dewasa ini, ramai juga yang mengundang kugiran atau deejay untuk tujuan hiburan, seringkali hiburan itu berlebihan dan sampai kepada peringkat melampau, bahkan yang lebih buruk lagi kadangkala terdapat juga yang menganjurkan joget lambak dan ada pula yang mengundang “mak nyah”! Hal ini jelas tidak sesuai dan haram.

Maka dengan itu, tiada sebarang sebab upacara perkahwinan dilarang dalam Islam, namun pelaksanaannya sahaja yang perlu berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan Islam.

Jelaslah, Islam bukan sesuatu agama yang memberati para penganutnya dalam melayari arus kehidupan di dunia ini. Islam secara mudahnya merupakan agama yang diwahyukan untuk semua jenis manusia yang terdapat di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam tidak pernah melarang sama sekali para penganutnya daripada mengamalkan kebudayaan dan kesenian yang terdapat dalam setiap bangsa. Namun, perlu difahami bahawa setiap amalan yang dipraktikkan itu perlu selaras dan selari dengan syariat Islam. Begitu jugalah halnya dengan isu perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Ia boleh dilakukan dan diamalkan selagi ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Sumber :
Link 1

Read more...

Makanan Genius Dalam Islam

Formula pemakanan genius-genius Islam silam yang menjadi rahsia keajaiban daya intelek mereka. Formula ini terpendam di dalam kitab-kitab tradisional dalam bahasa Arab. Tersembunyi dari pengetahuan orang Arab dan umat Islam sendiri. Namun akhir-akhir ini ada usaha-usaha untuk mengetengahkan kembali kepada umum. Sekarang semacam ada kecenderungan di kalangan ilmuan Islam dan bukan Islam untuk mengkaji dan menguji keabsahan formula ini. Ini didorong oleh penemuan - penemuan saintifik yang membuktikan kebenarannya, khususnya terhadap susu, madu dan telur. Berikut adalah formula pemakanan genius - genius Islam yang telah terbukti berupaya meningkatkan kepintaran dan kekuatan daya ingatan.

Saya menerima artikel ini melalui emel 4 tahun yang lalu. Saya hanya ingin berkongsi, kerana semua jenis makanan yang tersenarai disini memang mendapat perhatian pengkaji-pengkaji makanan masa kini. Dengan makanan-makanan inilah dijadikan sebagai penawar penyakit-penyakit tertentu. Jom kita Ikuti selanjutnya :

* Madu - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktirafkannya sebagai ” shifa ‘” iaitu penyembuh penyakit. Manisan madu digelar “Raja Ubat”, dapat menyembuh kebanyakkan penyakit. Ia adalah makanan untuk kesihatan keseluruhannya. Ia mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral, protein, antiseptik dan enzim yang meningkatkan ingatan dan kecerdasan mental individu. Madu juga mengandungi pelbagai zat galian yang penting seperti kalsium, sulfur, fosforus, zat besi, karbon, magnesium, potassium (kalium), kuprum, silika, klorin, mangganese dan belerang untuk memupuk tenaga dan kesihatan fizikal-mental. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit - penyakit mental di mana ia boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Cara Minum : 2 sudu teh pada waktu pagi dan malam. Pantang : Jangan makan tembikai semasa menggunakan madu. Sangat merbahaya!

* Kismis - Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Kekurangan oksigen menyebabkan seseorang mudah mengantuk, pelupa, lembab dan mengalami kelemahan dalam berfikir. Cara makan : i) Menghadap Kiblat ii) Baca “Bismillah” dan selawat ke atas nabi (3 kali) iii) Baca doa penerang hati iv) Makan secara kemam seperti makan gula-gula. Tidak berkesan jika dikunyah seperti makan kacang. v) Makan sebiji-biji sebanyak 21 biji setiap hari.

* Susu Segar - Susu berguna untk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semulajadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu adalah makanan yang paling lengkap dan berkhasiat. Ia mengandungi enam kelas makanan yang amat diperlukan oleh tubuh iaitu karbohidrat, lemak, protein, semua jenis vitamin, mineral dan air. Ia berkhasiat untuk merawati kesihatan umum dan merupakan penawar kelupaan yang berkesan. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri - biri dan lembu yang segar. Susu hidup lebih berkhasiat dari susu debu. Cara minum : i) Sekurang-kurangnya segelas pada sebelah pagi dan malam ii) Baca “Bismillah” dan doa minum susu seperti yang dibaca oleh Rasullullah s.a.w.

* Telur- Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli - ahli kesihatan mengakui ia merupakan makanan yang lengkap dan berkhasiat. Ia mengandungi protein, mineral, vitamin, kalsium, kuprum, magnesium, fosforus, kalium, sulfur, natrium, klorin, zat besi, air, choline dan bahan ekstraktif. Sabda Nabi s.a.w, “Sesungguhnya seorang nabi a.s mengadu kepada Allah (kerana dia)lemah badan. Maka Allah s.w.t memerintahkannya supaya memakan telur”. Telur terutama telur kuning, berupaya mengatasi masalah kelemahan tenaga fizikal dan minda sekaligus. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.

* Halia - Ianya sangat mujarab untuk gejala kelupaan. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halua. halua ialah halia yang dijadikan manis - manisan dengan merebus dan mencampurkannya dengan gula. Cara Makan : Dimakan sedikit sahaja pada waktu pagi.

* Limau Oren - Berkhasiat untuk mengemaskan urat-urat jantung dan menambah kekuatan fikiran. Limau - limau jenis lain juga elok untuk diamalkan.

* Buah Delima - Untuk penerang hati.

* Daging Burung Merpati - Ianya banyak digunakan oleh bijak pandai Islam dan Melayu dahulukala. Ia mengandungi protein, lemak, kalsium, fosforus dan kalori. Sangat efektif untuk meningkatkan kecerdasan terutama kanak - kanak. Kaedah ini sangat popular dan berkesan. Kanak - kanak yang diberi telur burung merpati didapati dapat bercakap lebih awal dari kebiasaannya.

* Otak Ayam - Boleh dibuat sup dan dicampur dengan halia. Otak ayam yang segar juga boleh dibuat penawar sementara bagi gigitan ular. Perlu diamalkan memakannya.

* Daging Ayam - Berbanding dengan semua jenis daging, ayam dianggap mengandungi kadar zat pemakanan yang tertinggi. Daging ayam betina dara terutamanya berkhasiat meningkatkan prestasi otak dan membaiki darah. Abu Musa r.a meriawayatkan bahawa Nabi s.a.w memakan daging ayam betina.

* Daging Biri-Biri - Menambah darah, sesuai untuk orang aktif dan bekerja berat serta dapat meningkatkan kekuatan hafazan.

* Hati - Terutamanya hati ayam dan lembu. Mengandungi pelbagai jenis vitamin dan bermanfaat untuk kesihatan mental dan fizikal.

* Kekacang - Beberapa jenis kacang seperti gajus, berangan, kacang soya, pistachio dan lain-lain. Kacang pistachio dipercayai sangat efektif untuk meningkatkan kecerdasan terutamanya kanak-kanak. Kekacang mengandungi nilai protein yang tinggi.

* Buah Badam - Untuk meningkatkan kecerdasan.

* Za’faran : Komkoma ( Crocos Sativus ) - Sejenis bahan berambu merah. Dimakan sedikit sahaja.

* Kemenyan Putih ( kemenyan serani/luban/kundar ) - Ditumbuk halus-halus dan dimakan dengan gula.

* Bunga Kobis - Terdapat sejenis asid amino untuk tenaga mental.

* Bunga Cengkih - Ditumbuk sehingga halus lalu dimakan sedikit sahaja.

* Labu - Berfaedah menambahkan keupayaan fikiran dan akal.

* Buah Kedekai ( Majalawi ) - Menguatkan hafalan dan menguatkan kekuatan badan.

* Minyak Sapi - Dimakan terus atau dicampurkan dengan masakan dalam kuantiti yang kecil.

* Sayur-sayuran dan buah-buahan segar - Juga membantu meningkatkan akal dan memori.

Sumber :
Link 1

Read more...

Membongkar Kelebihan Saintifik Solat

HUBUNGAN ibadah solat secara rohaniah ditekankan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis serta buku-buku ilmiah. Betapa solat itu merupakan tiang agama dan diwajibkan ke atas umat Islam.

Bagaimanapun perkaitan ibadah solat secara saintifik seperti kesan pergerakan dalam setiap rakaat terhadap kesihatan tubuh badan masih terlalu sempit perbincangannya secara umum.

Hakikatnya, pada setiap pergerakan solat itu seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal serta tahiyat akhir, tersembunyi pelbagai misteri saintifik terhadap kesihatan.

Misteri itulah yang cuba dirungkaikan menerusi buku ini dengan memberi penekanan kepada komponen sains kesihatan seperti komposisi badan, denyutan jantung, pinggang, otak, otot dan disfungsi ereksi (mati pucuk).

Menariknya buku ini, ia terhasil daripada cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang mahu melihat sebuah kajian dijalankan bagi membongkar kelebihan solat dari sudut saintifik.

Kajian itu kemudiannya dijalankan oleh tiga orang saintis dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Secara umumnya, badan manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu tisu aktif, tisu tulang, air dan lemak dengan setiap satunya mempunyai fungsi-fungsi tertentu di dalam badan.

Kajian mengenai kebaikan senaman terhadap komposisi badan telah banyak dilakukan dan pakar kesihatan juga sependapat bahawa senaman berat atau ringan tetapi dilakukan secara kerap dapat membakar lemak badan dan karbohidrat.

Kesan yang sama juga dibuktikan menerusi pergerakan solat yang diumpamakan seperti melakukan senaman ringan dan dibuktikan dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, tekanan, kolestrol dan penyakit lain.

Pergerakan rukuk misalnya, iaitu kedudukan tulang belakang yang lurus melintang atau 90 darjah dibuktikan dapat mengelakkan risiko penyakit tulang belakang dan penyakit arthritis. Ia disebabkan oleh pertambahan bendalir dalam sel yang terdapat pada sendi-sendi badan sekali gus melembutkan pergerakan sendi tersebut.

Kedudukan rukuk juga dapat melambatkan proses penuaan yang berlaku apabila meningkatnya tisu aktif selain menambah baik proses imbangan air dalam badan dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Begitu juga tabiat membengkokkan ibu jari dalam kedudukan sujud dan duduk semasa tahiyat yang dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak dan membuang lemak dalam badan, sekali gus merendahkan risiko penyakit jantung.

Keadaan sujud sesuai dengan tarikan graviti yang akan menyebabkan lebih banyak darah mengalir ke otak.

Dinding dan urat-urat nadi otak dapat menerima lebih banyak darah berbanding keadaan biasa dan dengan bekalan oksigen mencukupi, otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas.

Nilai kadar denyutan jantung nominal semasa sujud juga baik untuk kesihatan jantung khususnya dan kesihatan badan secara keseluruhannya. Posisi sujud dalam solat merangsang kadar denyutan jantung yang sihat dan tambahan kepada masa rehat.

Ia juga memanjangkan hayat jantung serta dapat menghindarkan pengecilan salur-salur darah yang membawa penyakit kepada arteriosklerosis.

Daripada sudut kesihatan seksual pula, solat telah dibuktikan mampu memberikan kesan positif kepada pesakit yang mengalami disfungsi ereksi.

Kajian yang dilakukan menunjukkan pesakit yang pada mulanya langsung tidak mendapat ereksi ketika tidur mula menunjukkan perubahan dengan satu ereksi selepas proses intervensi solat selama sebulan.

Malah, kajian berasingan dalam tempoh yang sama juga menunjukkan bilangan ereksi pesakit, isipadu darah serta tempoh ereksi turut meningkat secara mendadak.

Menariknya, solat turut memberi kelebihan kesihatan lain iaitu ia mampu meningkatkan bendalir dalam sel (ICW) serta menurunkan rintangan dan bendalir luar sel (ECW). Secara saintifiknya, bendalir dalam sel yang tinggi akan melancarkan pengaliran darah dalam badan terutamanya ke saraf otak yang akan mendapat bekalan oksigen yang tinggi seterusnya memberi ketenangan secara fizikal dan emosi kepada pendiri solat.

Lebih daripada itu, solat juga dibuktikan mampu meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. Menerusi solat, otak diberikan satu keadaan untuk bersedia dalam menghadapi tugas pemikiran yang mencabar. Malah, selepas melakukan solat, seseorang itu akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan.

Bagaimanapun perlu untuk diingatkan, kelebihan solat ke atas kesihatan seperti yang dibuktikan menerusi buku ini perlu menepati ciri-ciri tertentu dan sudah semestinya mengikut ajaran Islam yang sebenar. Ia termasuk mengerjakan solat lima waktu dalam sehari.

Sumber :
Link 1

Read more...

Niat Sembahyang

Berikut adalah niat sembahyang 5 waktu yang wajib dilakukan oleh setiap individu muslim. Niat tersebut hendaklah dilakukan sebelum memulakan sesuatu solat.

Niat Sembahyang Subuh :

Usalli fardhaz subhi raka'ataini (*) adaan lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu subuh dua rakaat
(*) tunai kerana Allah Ta'ala.

* tambahkan makmuman (mengikut imam), jika sembahyang berjemaah.



Niat Sembahyang Zohor :


Usalli fardhaz zuhri arba'a raka'atin (*) adaan lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu zohor empat rakaat (*) tunai kerana Allah Ta'ala.

* tambahkan makmuman (mengikut imam), jika sembahyang berjemaah


Niat Sembahyang Asar :


Usalli fardhaz asri arba'a raka'atin (*) adaan lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu asar empat rakaat
(*) tunai kerana Allah Ta'ala.

* tambahkan makmuman (mengikut imam), jika sembahyang berjemaah.


Niat Sembahyang Maghrib :


Usalli fardhaz maghribi thalatha raka'atin (*) adaan lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu maghrib tiga rakaat
(*) tunai kerana Allah Ta'ala.

* tambahkan makmuman (mengikut imam), jika sembahyang berjemaah.


Niat Sembahyang Isya' :


Usalli fardhaz 'isya'i arba'a raka'atin (*) adaan lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu 'isyak empat rakaat
(*) tunai kerana Allah Ta'ala.

* tambahkan makmuman (mengikut imam), jika sembahyang berjemaah.


Niat Sembahyang Jumaat :



Usalli fardhaz Juma'ati raka'ataini adaan makmuman lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu Jumaat dua rakaat mengikut imam tunai kerana Allah Ta'ala.



Sumber :
Link 1

Read more...

Tayamum

Menggunakan tanah yang bersih dan berdebu. Jika kita sakit dan dinasihatkan oleh Doktor kita tidak boleh terkena air atau kita berada di suatu tempat yang tiada air. Maka kita bolehlah bertayamum untuk menggantikan wuduk.

Fardu Tayamum


NIAT, Membaca niat sebelum bertayamum, tekan kedua tapak tangan di atas tanah yang bersih dan berdebu. "Nawaitut tayamumma liistibahatis solaah" ertinya "Sahaja aku tayamum kerana menguruskan sembahyang ".
MUKA, Menyapu muka dengan tanah yang bersih dan berdebu dengan sekali tepukan.
TANGAN, Menyapu tangan kanan hingga sampai ke siku dengan tanah yang bersih dan berdebu dari tepukan yang kedua kalinya, kemudian tangan kiri.
TERTIB, bermakna mengikut urutan atau turutan (dahulukan niat, muka kemudian tangan).

"Nawaitut tayamumma liistibahatis solaah" ertinya

"Sahaja aku tayamum kerana menguruskan sembahyang ".



SAPUKAN KE MUKA SAPUKAN TANGAN



Syarat-syarat Tayamum

Sesudah masuk waktu sembahyang (sebelum masuk waktu tidak boleh bertayamum).
Sesudah berusaha atau berikhtiar mencari air tetapi tidak berjumpa atau air yang hendak digunakan terlalu sedikit ataupun cuma untuk minuman sahaja.
Sebelum melakukan tayamum hendaklah terlebih dahulu menghilangkan najis jika ada.

Sunat-sunat tayamum

Menghadap ke arah Kiblat.
Membaca "Bismillah hirrahman nirrahim".
Menipiskan debu di tangan.

Perkara yang membatalkan tayamum
Segala apa perbuatan atau perlakuan yang membatalkan wuduk maka akan batal juga tayamum.
Terdapat air setelah hendak melakukan sembahyang.


Sumber :
Link 1

Read more...

Panduan Ringkas Solat

Cara sembahyang yang betul adalah penting bagi memastikan ibadah solat kita diterima oleh Allah. Oleh yang demikian, kami menyediakan panduan ringkas tentang cara2 mengerjakan solat dengan kaedah yang betul sebagai panduan umum kepada kita semua.


Panduan dibawah ini adalah contoh rukun bagi solat EMPAT RAKAAT (isya', zohor dan asar). Bagi solat maghrib dan subuh, hendaklah menurut bilangan rakaat solat tersebut iaitu tiga dan dua rakaat masing-masing.

NIAT SEMBAHYANG (EMPAT RAKAAT)


Usalli fardhaz 'isya'i arba'a raka'atin (*) adaan lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu
(isyak) empat rakaat (*) tunai kerana Allah Ta'ala.

# gantikan dengan asri (asar) atau #zuhri (zohor)
* tambahkan makmuman (mengikut imam), jika sembahyang berjemaah.


Selaraskan dan rapatkan kedua-dua kaki, tangan juga hendaklah dirapatkan kerah badan.



Hendaklah berdiri betul menghadap kearah Kiblat, Kaabah (Arah bagi orang-orang Islam bersembahyang, tempat di mana arah matahari terbanam di Malaysia atau arah Barat)

Untuk lebih Khusyuk dalam sembahyang hendaklah tumpukan perhatian kepada sembahyang dan ketahuilah anda sekarang berhadapan dengan Allah serta pandanglah kearah tempat Sujud.




Rapatkan kedua-dua tangan
ke paha ketika memasang
niat dalam sembahyang
yakni sebelum mengangkat takbir.




TAKBIRATUL IHRAM
BERDIRI SAMBIL MENGANGKAT TAKBIR


Allahu Akbar

Maksudnya:

Allah Maha Besar




Angkat kedua-dua tangan ke paras telinga selepas memasang niat dalam sembahyang sambil itu bertakbir seperti di atas.



Lintaskan didalam hati ketika waktu yang sama mengangkat takbir niat kita bersembahyang.

Lelaki - di bawah telinga
Perempuan - di bawah paras bahu



BERDIRI RAKAAT PERTAMA (DO'A IFTITAH)
TANGAN DI LETAKKAN DI ATAS PERUT (PUSAT)



Allahu Akbaru kabiraw walhamdu lillahi kathiraw wasubhanallahhi bukratau waasila. Wajjahtu wajhia lillazi fataras sama wati wal ardha hanifam muslimaw wama ana minal musyrikin. Inna solati wanusuki wamahyaya wammamati lillahi rabbil'alamin. La syarikalahu wabiza lika umirtu wa ana minal muslimin.

Maksudnya:
Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan maha suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah tuhan seru sekelian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukanNya . Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Muslim (Islam).



Perempuan - Tangan di atas Lelaki - Tangan memegang

Letakkan kedua tangan selepas mengangkat takbir (tangan kanan di atas tangan kiri, beratkan ke sebelah kiri bagi lelaki).


TERUSKAN DENGAN MEMBACA



A'uzubillahi minassyaitanir rajim.


Maksudnya:

Aku berlindung dengan Allah dari godaan syaitan yang kena rejam.



SURAH AL-FATIHAH


Bismilla hirrahma nirrahim.

Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Arrahma nirrahim. Maliki yaumiddin.Iyyaka na'kbudu waiyyaka nasta'in. Ihdinassiratal mustaqim. Siratal lazina an'amta'alaihim ghairil maghdubi 'alaihim waladdhalin.

Amin (*).

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Segala puji-pujian bagi Allah tuhan seru sekelian alam. Yang maha pemurah lagi maha pengasih. Yang berkuasa pada hari pembalasan. Hanya Engkau sahaja wahai tuhan yang kami sembah dan hanya Engkau sahajalah tempat kami meminta pertolongan. Tunjukanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang terdahulu yang telah Engkau berikan nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.

Amin (*) (Perkenankanlah permintaan Kami)

* Sambutlah perkataan Amin bersama-sama jika sembahyang jemaah, tunggu selepas imam membacanya kemudian anda baca fatihah.(jika sembahyang zohor dan asar anda dikehendaki membaca sendiri selepas bacaan do'a iftitah).



KEMUDIAN BACA SEBARANG SURAH CONTOHNYA:



Bismilla hirrahma nirrahim.

Inna a'ktainakal kautsar. Fasalli lirabbika wanhar. Innasya niakahual abtar.

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Sesungguhnya Kami (Allah) telah kurniakan kepadamu (Muhammad) nikmat yang banyak. Maka dirikanlah sembahyang kerana (syukur kepada) Tuhanmu dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.


TAKBIR KERANA RUKUK
BERDIRI SAMBIL MENGANGKAT TAKBIR



Allahu Akbar

Maksudnya:

Allah Maha Besar




Angkat kedua-dua tangan ke paras telinga sambil itu bertakbir seperti di atas.



RUKUK
TUNDUK DALAM KEADAAN 90 DARJAH




Subahana rabbial 'azimi wabihamdih. (3 Kali)

Maksudnya:

Maha suci Tuhanku yang Maha Agong dengan sifat kepujiannya.




Anda boleh juga membacanya lebih dari 3 Kali dengan kiraan ganjil contohnya 5X, 7X, 9X, 11X ataupun sekali dan sebagainya.


Kedudukan tangan bagi muslimat ketika melakukan rukuk, siku dirapatkan ke badan.




IK'TIDAL (KEMBALI BERDIRI SELEPAS RUKUK)
BERDIRI SAMBIL MEMBACA DOA


Sami'allahu liman hamidah.

Maksudnya:
Allah mendengar orang yang memujinya.




Angkat kedua-dua tangan ke paras telinga dan baca ayat diatas.




IKTIDAL SELEPAS RUKUK
BERDIRI KEMBALI SEBELUM SUJUD

Rabbana lakalhamdu.

Ertinya:
Ya Tuhan kami, Bagimu segala puji.

* Rabbana lakalhamdu mil assamawati wamil ardhi wamil a'maasyita min syai i'nba'du.(Ya Tuhan kami, bagimu segala puji seisi langit dan bumi dan sebanyak yang Engkau kehendaki).


Teruskan dari kedaan diatas menuju sujud yang pertama.




SUJUD PERTAMA
TUNDUK HINGGA KE PARAS LANTAI

Subhana rabbiayal a'kla wabihamdih (3 Kali).

Maksudnya:
Maha Suci Tuhanku yang Maha Mulia dengan sifat kepujiannya.


Kedua tangan paras lantai, dahi juga hendaklah berkeadaan seperti di sebelah.


Allahu Akbar

Maksudnya:
Allah Maha Besar






DUDUK ANTARA DUA SUJUD
DUDUK SEPERTI MELUTUT

Rabbighfirli warhamni wajburni warfa'kni warzuqni wahdini wa'afini wa'kfu 'anni.

Maksudnya:
Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku.




SUJUD YANG KEDUA (RUJUK KE LANGKAH KELAPAN)
TUNDUK HINGGA KE PARAS LANTAI

BERDIRI PADA RAKAAT KEDUA (RUJUK KE LANGKAH KETIGA)
T
ANPA MENGANGKATANGAN TERUS BACA


SUJUD PERTAMA RAKAAT KEDUA (RUJUK KE LANGKAH KELAPAN)
TUNDUK HINGGA KE PARAS LANTAI

DUDUK ANTARA DUA SUJUD RAKAAT KEDUA (LANGKAH 9)
DUDUK SEPERTI MELUTUT

SUJUD KEDUA RAKAAT KEDUA (RUJUK KE LANGKAH KELAPAN)
TUNDUK HINGGA KE PARAS LANTAI

BANGUN DAN SILA ULANGI LANGKAH YANG SAMA SETERUSNYA SEHINGGA RAKAAT KEEMPAT

TAHYAT AWAL
DUDUK BERSIMPUH SAMBIL MEMBACA TAHIYAT AWAL




Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu laillah. Assalamu'alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh. Assalamu'alaina wa'la 'ibadillahis salihin. Asyahadu alla illaha illallah. Wa'asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma solli'ala Muhammad.

Maksudnya:
Salam dan sejahtera, sembah bakti dan segala kebaikan bagi Allah. Salam atasmu wahai Nabi dan rahmat Allah dan keberkatanNya. Demikian pula mudah mudahan dianugerahkan kepada kita dasn kepada segenap hamba-hambaNya yang soleh. Aku mengaku bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ya Allah berilah rahmat dan kesejahteraan kepada junjungan kita Nabi Muhammad.








Apabila bacaan sampai kepada "Asyhadualla ilaha illallah" dan seterusnya, hendaklah mengangkat jari telunjuk sebelah kanan sehingga tahiyat awal berakhir.





TAHYAT AKHIR
DUDUK BERSIMPUH SAMBIL MEMBACA TAHIYAT AKHIR











Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu laillah. Assalamu'alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh. Assalamu'alaina wa'la 'ibadillahis salihin. Asyahadu alla illaha illallah. Wa'asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma solli'ala Muhammad wa'ala aliMuhammad. Kama sollaita'ala Ibrahim wa'ala aliIbrahim. Wabarik 'ala Muhammad wa'ala aliMuhammad. Kama barakta 'ala Ibrahim wa'ala aliIbrahim. Fil 'alamina innaka hamidummajid.

Maksudnya:
Salam dan sejahtera, sembah bakti dan segala kebaikan bagi Allah. Salam atasmu wahai Nabi dan rahmat Allah dan keberkatanNya. Demikian pula mudah mudahan dianugerahkan kepada kita dasn kepada segenap hamba-hambaNya yang soleh. Aku mengaku bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ya Allah berilah rahmat dan kesejahteraan kepada junjungan kita Nabi Muhammad dan keluarga Muhammad. Seperti apa yang telah Engkau anugerahkan kesejahteraan kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad. Seperti yang Engkau berkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Tinggi.








SALAM KE KANAN



Assalamualaikum warahmatullah

Ertinya:
Sejahtera dan rahmat untukmu semoga dirahmati Allah.



Hendaklah berpaling ke arah kanan sambil memberi salam.

* jika sembahyaang berjemaah hendaklah tunggu sehingga imam memberi salam terlebih dahulu.



SALAM KE KIRI

Assalamualaikum warahmatullah

Ertinya:
Sejahtera dan rahmat untukmu semoga dirahmati Allah.



Berpaling ke arah kiri sambil memberi salam



Solat perlu dilakukan secara tertib mengikut rukun-rukun yang telah ditetapkan. Solat tersebut akan terbatal sekiranya tidak dilakukan mengikut tertib tersebut. Selain itu, setiap rukun yang dikerjakan perlu dilakukan dengan thomakninah.


Sumber :
Link 1

Read more...
================Far East - Cinta Pertama================

  © Nur Islam are brought to you by Mohd Fahmi bin Hussain 2009

Back to TOP