Mining Bitcoin Cash

Showing posts with label Antara Syariat dan Budaya. Show all posts
Showing posts with label Antara Syariat dan Budaya. Show all posts

Terbalik Tangan Ketika Mohon Tolak Bala

Sudah menjadi satu tradisi masyarakat melayu terutamanya di Malaysia iaitu menterbalikkan tangan ketika berdoa memohon dijauhkan bala. Di manakah sumber amalan ini??
Apabila diteliti, rupanya di sana terdapat satu riwayat yang menjelaskan keadaan ini :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِك أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاء

Maksudnya :
“Sesungguhnya Nabi SAW ketika “istisqa” (memohon hujan) menunjukkan belakang kedua tangannya ke arah langit”
(Hadith Sahih, Riwayat Muslim, bab mengangkat kedua tangan ketika berdoa sewaktu istisqa’)

Umumnya, hadith ini menjelaskan bahawa seorang sahabat yang menyaksikan keadaan itu iaitu Anas bin Malik menceritakan bagaimana keadaan Rasulullah saw berdoa ketika istisqa’(memohon hujan).

Setelah diteliti, beberapa pendapat ulama antaranya Imam al-Nawawi dan al-San’ani berpendapat bahawa sunnah menterbalikkan tangan ketika berdoa memohon dijauhkan bala bersandarkan dalil ini. (Lihat kepada Syarah Muslim oleh al-Nawawi dan Subul al-Salam oleh al-San’ani)

Walaupun begitu, ada juga ulama yang berpendapat sebaliknya, antaranya Ibn Taymiyyah dan Ibn Rejab. Mereka berpendapat bukan begitu apa yang dimaksudkan oleh Anas bin Malik. Bagi mereka apa yang dimaksudkan oleh Anas bin Malik adalah Rasulullah mengangkat kedua tangannya terlalu tinggi sehinggakan belakang tangannya terhala ke arah langit. (Lihat kepada Fath al-Bari oleh Ibn Rejab dan al-Mustadrak ’ala Majmu’ al-Fatawa oleh Ibn Taymiyyah)

Mari sama-sama kita teliti, apakah maksud sebenar yang ingin di sampaikan oleh Anas bin Malik. Asas kita adalah hadith Anas bin Malik riwayat Muslim ini.

Ditinjau kepada dirayah al-hadith (fiqh hadith), di dapati kalimah yang digunakan oleh Anas bin Malik adalah (asyara ila) iaitu ’menunjukkan kepada’. Perkataan ’tunjuk’ beerti mengarahkan jari telunjuk kepada sesuatu perkara. Dalam konteks hadith ini, Rasulullah saw menunjukkan (mengangkat dengan tinggi) tangannya ke arah langit.

Ditinjau lagi kepada riwayat lain ada dilaporkan :

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى بْنُ حَمَّادٍ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةَ أَنَّ أَنَسًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حَدَّثَهُمْ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلَّا
فِي الِاسْتِسْقَاءِ فَإِنَّهُ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ

Maksudnya : “ Nabi SAW tidak mengangkat kedua tangannya ketika berdoa kecuali dalam istisqa’. Sesungguhnya Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kelihatan putih ketiaknya.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari, bab sifat Nabi saw)

Kesimpulan awal kita ketahui bahawa Rasulullah saw ketika istisqa’ berdoa dengan mengangkat tinggi tangan mulia Baginda saw ke arah langit sehingga menampakkan putih ketiaknya.

Tetapi adakah seperti yang ditafsirkan oleh Imam al-Nawawi (menterbalikkan tangan) ataupun seperti pendapat Ibn Rejab (mengangkat terlalu tinggi sehigga belakang tangan terarah ke langit)?

Diteliti dengan mendalam lagi, dijumpai pula di sana riwayat lain yang berkaitan doa, iaitu Rasulullah menyuruh kita berdoa menggunakan perut tangan dan bukanlah belakang tangan. Kita lihat riwayat ini :


حَدَّثَنَا أَبُو ظَبْيَةَ أَنَّ أَبَا بَحْرِيَّةَ السَّكُونِيَّ حَدَّثَهُ عَنْ مَالِكِ بْنِ يَسَارٍ السَّكُونِيِّ ثُمَّ الْعَوْفِيِّ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا سَأَلْتُمْ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا

Maksudnya : “Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa) maka mintalah dengan perut tangan kamu, dan jangan kamu meminta menggunakan belakang tangan” (Sunan Abu Dawud, bab al-Dua’, Al-Albani meletakkan hadith ini sebagai Hasan Sahih, lihat kepada Sahih wa al-Dhaif Sunan Abi Dawud)


Setelah meneliti riwayat yang berkaitan dan bahasa, kecenderungan untuk memilih pendapat Ibn Taymiyyah dan Ibn Rejab lebih kuat. Bahkan, Ibn Taymiyyah menyimpulkan bahawa riwayat yang melarang menggunakan belakang tangan ketika berdoa adalah penyelesaian kepada kes ini.

Kesimpulannya, tafsiran yang paling hampir terhadap perkataan Anas bin Malik adalah bukanlah menterbalikkan tangan, tetapi belakang tangan terarah ke langit disebabkan mengangkat tangan terlalu tinggi. Cara berdoa seperti inilah disebut oleh Ibn Abbas sebagai Ibtihal.

Wallahualam…

Sumber :

Read more...

Menterbalikkan Tapak Tangan Ketika Berdoa Tolak Bala

Satu isu lagi yang timbul yang agak menyesakkan nafas para imam dikampung-kampung bila membaca doa kenduri tahlil arwah , doa selamat, doa qunut nazilah dan sebagainya. Bila tiba ayat tolak bala biasanya tapak tangan diterbalikkan.. maka lama sudah amalan begitu telah diwarisi tanpa panjang bicara. Tiba-tiba heboh diperkatakan sebagai bida'h , dilarang Nabi , tidak ada asal usulnya.

Marilah kita lihat sedikit dalil mereka yang telah membid'ahkan amalan terbalik tangan dalam berdoa ini.

Mereka menunjukkan satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Abi Daud didalam Sunan beliau :

{Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah ta'ala , hendaklah kamu meminta dengan tapak tangan , JANGAN DIBELAKANGKAN nya, kemudian jangan kamu letakkannya bahkan hendaklah sapu kemuka , kerana yang demikian itu dijadikan oleh Allah ta'la padanya BARAKAH.} - tajzib athraf.. Sunan Abi Daud m.s. 78 juz 2 hadis no 1486.

Berdasarkan hadis ini , telah dikatakan bid'ahlah menterbalikkan tapak tangan ketika membaca doa misalnya " Allahummad fa' anna minl bala..."

Sepatutnya tidaklah begitu. Sebab hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujjah dikeranakan ia hadis yang bermasalah... masalahnya adalah Sulaiman bin Abdil Hamid al Bahrani. Beliau sekalipun telah dithiqahkan oleh sebahagian ulamak, tetapi telah meriwayatkan hadis tersebut dengan kaedah Wijadah yang munqotia'h. Wijadah pada asasnya tidak ada masalah, tetapi jika tiada keizinan dari Syekh yang diambil sesuatu hadis itu , maka dikatakan wijadah yang munqotia'h, yang terputus, yang sudah tentu berada dalam kategori dhoif. Sulaiman telah berkata Qaratuhu fi ashl Isma'il ya'ni Ibni Iyas, beliau tidak berkata Qaratuhu fil ashl Ismail an'hu , misalnya yang boleh difahami adanya keizinan meriwayatkan sesuatu catitan hadis. .. sila semak Syarah Abi Daud -Bazlul Majhud- Al Allmah Khalil Ahmad as-Shahranfur,juz 7 sohifah 336 , cetakan Darul Fikar Bairut.

Terdapat satu lagi hadis yang berlawanan dengan hadis perintah larangan menterbalikkan tapak tangan tersebut, juga riwayat Imam Abu Daud, tapi sayangnya juga dhoif. " Daku melihat Rasulullah s.a.w berdoa begini , dengan perut tapak tangannya dan belakang keduanya( terbalik)." Kaedah Usul Fiqah menetapkan " Iza tanaza' a thasaqotha" apabila berlawanan kedua dalil (jika tidak mungkin dihimpunkan, dikompromikan) maka gugurlah kedua-duanya dari istidlal (dibuat dalil). Oleh yang demikian, disebabkan keDhaifan keduanya dan berlawanan tanpa boleh dihimpunkan , para pemuka mazhab kita telah meninggalkan hadis tersebut dari diamalkan , bahkan kembali beramal dengan qiyas atau mafhum hadis-hadis sahih berkenaan masalah ini.

Oleh itu jika kita memeriksa fatwa-fatwa para pemuka mazhab Shafie dalam soal ini , mereka tetap menghukum sunat menterbalikkan tangan ketika begitu.

Lihat saja Imam Ibnu Hajar dalam Fathul Baari, Imam Nawawi dalam Syarah Muslim, Baa Alawi dalam Bugyatul Mustarsidin dan lain. wallahu a'lam.

Satu kritikan
:
Terdapat satu hadis yang dinilai Hasan atau Jayyid riwayat at Thobarani yang boleh menjadi syahid kepada hadis Abi Daud tersebut " Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah ta'ala , hendaklah kamu meminta dengan tapak tangan , JANGAN DIBELAKANGKAN nya" , menurut al- Haithami dalam Majma' Zawaid "Rijalnya adalah rijal yang Sohih melainkan Ammar bin Khalid, Dia thiqoh".
Jawab:
Ini menunjjukan ikhtilaf pada Ammar bin Khalid, tapi al-Haithami tetap menilainya sebagai thiqah.
Soalnya , terdapat satu lagi hadis didalam Majma' Zawaid , " Adalah Nabi , apabila BERDOA, baginda menjadikan (menadahkan) tapak tangannya, apabila MEMOHON PERLINDUNGAN, baginda menjadikan (menggunakan) belakang kedua tapak tangannya ". Imam Ahmad r.a telah mentakhrijkannya dalam al-Musnad beliau, kemudian al-Haithami telah mengulas dalam Majma'nya " Isnadnya adalah Hasan", begitu juga Imam Sayuthi dalam Faddhu al-Wiaa' mengatakan ianya Hasan. Walaupun masih ada kritikan pada isnadnya , kedua mereka tetaplah mengatakan hadis tersebut adalah "Hasan".
Perkara keduanya, berdoa dan menolak bala adalah dua perkara yang berbeza.

Dalam keadaan begitu , siapakah yang jadi marji' kita dalam keputusan ?. nak pakai rasa-rasa kita ke , nak pakai Imam Nawawi, Imam ibnu Hajar al-Asqolani yang mengatakan Ada wajahnya menterbalikkan tangan ?....

1. Al-Allamah al-Habib Ba Alawi dalam Bugyatul al- Mustarsyidin..di "Sunan al sholah"..


مسالة ك. نقل الخطيب عن الفتوى الرملى أنه لا يسن قلب الكفين فى الدعأ القنوت عند قوله وقنا شرما قضيت اذ الحركة فى الصلاة غير مطلوبة بل يكره وجزم الشوبرى و ح ل بندبه قالا لأن محل كراهة الحركة فيما لم يرد والمفهوم من ظاهر كلام ابن حجر وصريح كلام م ر أن كل داع فى قنوت الصلاة أو فى غيرها ان دعا برفع ما نزل به من بلاء جعل ظهر كفيه الى السمآء من أول القنوت الى آخره أى قنوت كان وان كان بصيغة الطلب كاللهم اسقنا غيثا مغيثا الخ لأن المراد بقولهم برفع بلاء اذا كان المقصود منه رفع البلاء ويؤيده التصريح بندب رفع اليدين فى حال الثناء مع أنه لادعاء فيه


(Ditanya kepada al-Allamah al-Muhaqqiq Muhammad bin Sulaiman al Kurdi al-Madani ): Telah menukilkan oleh Sheikh Khatib dari fatwa Sheikh Ramli , bahawa tidak disunatkan menterbalikkan dua tapak tangan ketika berdoa qunut ketika membaca "Wa qina syarrimaa qadaith ", kerana gerakan dalam sembahyang adalah tidak diperlukan bahkan dimakruhkan . Telah menjazamkan oleh al-Allamah al-Syubari dan Al-Halabi dengan SUNATNYA. Kedua mereka berkata: "Kerana tempat makruh gerakan adalah pada perkara yang tidak diwaridkan, padahal mafhum dari zahir kalam Sheikh Ibnu Hajar dan Sorih kalam Sheikh Ramli {Bahawa sesiapa yang berdoa qunut sembahyang atau selainnya , jika berdoa untuk menolak sesuatu bala yang turun , TERBALIK kanlah kedua tapak tangannya ke langit, dari permulaan qunut hingga akhirnya , pada sebarang jenis qunut, sekalipun dengan mengucapkan lafaz jenis tuntut, seperti Allamhumma ghisna.. kerana yang dimaksudkan dengan kenyataan para Fuqaha dengan kata mereka "Mengangkatkan bala , apabila menolakkan bala"}.

بغية المسترشيدين- العلامة باعلوى مفتى الديار الحضرمية . رحمه الله ونفع بعلومه آمين


Sumber :
Link 1

Read more...

Anda Sedang Bercouple Ya..?

Kami tidak berzina !
Maaf, saya tidak menuduh awak berzina, tetapi awak menghampiri zina.

Kami hanya barbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum di kafe. Adakah itu menghampiri zina?
Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.

Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.
Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang.Iblis akan memerangkap kamu. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama,Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan(Tabrani) . Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis.

Tidak semestinya semua orang bercinta* menjurus kepada penzinaan. Ada yang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tidak pernah bersua muka pun!
Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja.Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itupun zina ke?
Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan.

Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)* Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.

Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni Study Group.(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)
Study Group...? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana-manapun berdua. Kalau yea pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni... betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu... banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Kami berdua sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula .

Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta?
Adakah Islam membunuh terus naluri cinta? Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu.

Islam takde ke couple-cople ni?
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia. Kalau begitu, cinta* remaja semua menghampiri kepada penzinaan? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam bukankah mereka semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat tidak sampai berzina. Kami tahan diuji. Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang. Jadi manusia itu tidak tahan diuji? Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya tidak memakan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan menghampiri pokok khuldi itu. Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (jika kamu menghampirinya) maka kamu adalah orang-orang yang zalim. (al-Araf:19) Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan zina, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.



Tetapi cinta selepas kahwin banyak masalah.
Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum buat keputusan berkahwin. Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing- masing akan berlakon dengan watak terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai- bagai lagi. Masa bercinta merajuk ada yang pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang pujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit. Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti. Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta....
Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina. Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri? Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.

Adakah orang yang bercinta hilang maruah?
Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina. Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.(Surah An-Nur: 3)

Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan? Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Kami telah berjanji sehidup semati.....
Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?
Tentu! Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja. Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan? Itulah hakikatnya!

Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?
Ya! Masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35 )

Bagaimana kami?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-Nya. Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha. Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya.Taubat yang memenuhi tiga syarat: i) Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini. ii) Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan. iii) Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab kabul.



Sumber :
Link 1

Read more...

Couple

Pernah seketika dulu saya rasa saya tak berguna..
Masa dalam kelas kawan-kawan semua tak suka..
Saya nak 'join', kawan kata saya menyibuk..
Ada pula yang kate saya kuat emo..
Sikit-sikit nak marah..
Padahal sebenarnye saya nak tegur mereka buat bising masa belajar..

Lepas tu saya cuba buat lawak
kononnya nak tarik perhatian orang lain
saya paling gembira bila ada orang gelak bila dengar lawak saya
terutamanya pelajar-pelajar perempuan..
Budak-budak lelaki semua kata saya 'mat capub'(cari publisiti)..
tapi saya tak kesah..
asalkan ada yang terhibur..



Tapi saya tetap merasakan kekosongan..
Memang lumrah manusia..
Seoarang lelaki akan tertarik kepada wanita
Macam itulah yang saya rasa..
Saya tengok kawan-kawan dah ada yang 'couple'..
Di dorm sms awek sampai pagi..
ada yang call awek sampai satu malam boleh habis 10 ringgit..

Saya mula berfikir..
"Adakah aku perlu BERCINTA?"
Dengan menggunakan akal seorang pelajar tingkatan 4 itu..
saya pun mula menanam tekad untuk ber'couple'..
Dan masa itulah saya kenal awak..
saya rase saya dah jumpa orang yang paling penting dalam hidup saya..

Mula-mula awak jual mahal..
Tapi saya tak kisah..nak beli gak..
akhirnya, dipendekkan cerita..
saya pun mulalah BERCINTA..

Masa bercinta,memang saya sangat-sangat bersemangat
Apa orang kata..'ALL OUT'lah..
haha..
Saya selalu call awak,awak pun selalu call saya..
'gayut' malam-malam..kadang-kadang saya pun habis RM10 satu malam..
Tetapi segala PENGORBANAN yg dilakukan masa ber'couple' tu..
Tidak terasa pun kehilangannya..

Mase bercinta memang indah..
Semuanya indah..
Sikit-sikit gurau-gurau
Sikit-sikit gelak-gelak
kalau merajuk men pujuk2..
kalau 'birthday' kita sambut sama-sama..

Untuk diri ini,terasa amat bahagia..
Sebab masa itulah terasa diri ini dihargai..
Saya pernah terikir..
Biarlah kawan-kawan saya tu pandang saya semacam,
kata saya macam-macam..
Asalkan awak memahami saya..

Satu hari saya dengar ceramah..
Alhamdulillah..
Dalam ceramah tu saya sedar,saya banyak buat dosa
dan saya kena brubah..
Hidup saya mesti selari dengan Islam..
Saya kena jadi baik..
Sebab memang itu fitrah manusia..menginginakan kebaikan..
semua orang nak masuk syurga kan?

Sejak dari saat itu saya mula rapatkan diri dengan masjid..
Rapatkan diri dengan Al-Quran..
Selalu solat jemaah awal waktu..
Selalu dengar tazkirah..

Saya beli terjemahan Quran, sebab nak tadabbur Quran
Saya beli dua, satu untuk saya, satu untuk awak,
Saya taknak jadi baik seorang diri..
jadi saya ajak awak sekali..
Saya ajak awak baca Al-Quran..
saya kejut awk bangun subuh..(calling)
saya ajak awak saling beri tazkirah..

Mula-mula awak terkejut dengan perubahan saya..
Awak ingat saya dah nak jadi alim, nak brenti couple.
Saya kata,kita bukan buat benda yang salah..
bercinta kerana Allah..
Kita couple tak macam orang lain..
Orang lain couple 'jiwang-jiwang' je..
ade yang siap wat mksiat lg..
pegang-pegang tangan dan macam-macam lagi..
Tapi kita couple baik-baik..
Jaga batas-batas syara'..
Tak guna ayat jiwang-jiwang
janji taknak jumpa, takut berlaku maksiat..
cuma sms dan call je..

Dan awk terima perubahan saya itu..
Saya pun banyak nasihat awak..
Awk pun terima..
Walaupun kadang-kadang awak merajuk sebab teguran saya tu
Tapi saya faham, perubahan memerlukan masa..
Dan akhirnya saya rasa..
Hubungan kita semakin diredahai..
Saya salu doa supaya kita akan kekal sampai ke gerbang perkahwinan..


Dalam proses perubahan saya,
Saya mula menyedari bahawa berdakwah itu wajib..
Kita kena menyampaikan kepada orang tentang kebenaran.
Kalau kita tidak berdakwah..
kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak.
sesuai dgn firmanNya dlm surah Al-A'raf,
surah ke 7,ayat ke 164:

Dan (ingatlah) ketika suatu umat di
antara mereka berkata: "Mengapa kamu
menasihati kaum yang Allah akan
membinasakan mereka atau mengazab mereka
dengan azab yang amat keras?" Mereka
menjawab: "Agar kami mempunyai alasan
(pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu,
dan supaya mereka bertakwa".

Lepas tu saya mulalah beri tazkirah pada kawan-kawan dan adik-adik
Tegur mereka apa sahaja yang silap..
Saya tak boleh tahan bila tengok orang buat salah/dose..
Saya mesti nak tegur.
Selemah2 iman tegur dengan hati, oleh sebab saya nak jadi orang kuat iman..
Ape lagi..tegur je la depan-depan..huhu~~

Lepas tu, satu masa..
saya terbaca pasal couple..

"COUPLE HARAM"

Saya tak percaya..
tapi bila baca detail-detail yang dia bagi..
macam betul pulak..
huhu~~
tapi biasala..
kalau kita suka satu benda tu..
kita tetap akan cari alasan untuk 'membenarkan' pendapat kita..

Saya pun buat tak tahu pasal benda tu..
dan teruskan saja hubungan kita..
kita tak buat maksiat..
Kita jalan-jalan pegang tangan..
tak jiwang-jiwang..
Cuma saling ambil berat..
Tanya khabar..
Borak-borak..
Siap bagi tzkirah lagi..
Apa yang haramnya dengan benda ni?
Tak kisahlah..

Masa terus berlalu...


Masa ni dah nak dekat Trial SPM..
lagi tiga minggu sebelum trial..
dalam masa tu, saya memang rajin study dengan kawan..
buat study group
Pada masa yang sama, bagi tazkirah..

Ada yang terima..
ada juga yang buat tak tahu
Kadang-kadang bila tegur..
saya kena marah pula..
macam-macamlah alasannya
ada kata saya tegur tak berhikmah..
ada yang kata saya menunjuk-nunjuk je..
Tapi tak kisah..
saya ada tempat mengadu..
huhu~~


Suatu masa..
ketika sedang mentadabbur Al-Quran seorang diri..
saya terjumpa ayat ini..

Mengapa kamu suruh orang lain
(mengerjakan) kebajikan, sedang kamu
melupakan diri (kewajiban) mu sendiri,
padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)?
Maka tidakkah kamu berfikir?
(Al-Baqarah, ayat 44)

Saya pun terfikir..

"Selama ini aku asyik tegur orang je.
Tapi aku sendiri masih banyak kekurangan,
Cepat marah, suka buang masa,
ade gak dosa-dosa yang masih dilakukan..
Macam mana ya?"

Lepas tu terjumpa pula ayat ini..

Dan janganlah kamu campur adukkan yang
hak dengan yang batil dan janganlah kamu
sembunyikan yang hak itu, sedang kamu
mengetahui.
(Al-Baqarah ayat 42)

Tiba-tiba saya terfikir satu keritikan kawan..

"Alah kau tu..cakap je berapi..gaya alim,tapi couple gak..sama aje kau
dengan kami..tegur orang konon.."

Berfikir sejenak..
Sebenarnye ber'couple' ni boleh ke tidak?
Adakah selama ini saya hanya menganggap ia boleh?
Habis tu, kenapa saya rasa malu bila mak dan ayah
tahu saya selalu berhubung dengan perempuan?
Dan terkadang saya rasa serba salah?

Macam-macam yang saya fikir..

Dipendekkan cerita lagi sekali..
saya ke Pulau Pinang untuk mengikuti satu seminar dkwh..
Saya harap dengan seminar ni kefahaman saya mengenai dakwah akan lebih mantap..

Dalam perjalanan ke seminar tu..
saya masih sms lagi dengan awak dalam bas..
sempat lagi pesan-pesan supaya jangan lupa baca Al-Quran hari ini, solat awal waktu..
Dalam fikiran saya..
"Ni kira dakwah juga..saling ingat-mengingati.."

******

Majlis malam itu berakhir dengan sesi ta'aruf,
pukul 10 semua orang dah bebas untuk aktiviti sendiri
Lagipun kami semua penat..
takkan nak panjang-panjangkan program sampai tengah malam..
pihak penganjur pun faham..

Tiba-tiba saya tergerak hati untuk bertanya dengan fasilitator yang ada di situ..
Saya rasa inilah masa terbaik untuk tanya pendapat dia tentang couple.
Tapi saya tragak-agak..
"Kalaulah betul couple tu salah..habis tu,nak
buat macam mana? Aku kena clash ke?
Alah,buat apa fikir macam tu..tanya je la. Kalau
tak buat salah, apa nak ditakutkan?"

Lalu saya menghampiri 'Brother' fasilitator tu..
Masa tu dia tengah membelek-belek terjemahan Al-Qurannya seorang diri.

"Assalamualaikum, bang, saya nak tanya sikit
boleh?"

"Em,boleh..duduklah. Nta nak tanya apa?"

"Er..macam ni,sebelum saya terlibat dengan dakwah ni, saya ada kenal seorang
kawan ni, perempuan la. Tapi bukanla setakat kawan biasa..rapat gak la. Bukan rapat biasa,tapi rapatla.."

"Bercinta ke?"

Saya malu nak cakap yang saya couple. Nanti apa pula brother tu kate..mesti dia marah nnt. Saya pun angguk. Lepas tu saya tanya..

"Sebenarnya..couple ni boleh ke tak bang?"

"Akhi, memang fitrah manusia, lelaki akan tertarik kepada perempuan, begitu juga perempuan akan tertarik kepada lelaki. Tapi dalam Islam, perasaan itu perlu dikawal dan ada batasnya. Pergaulan perlu dijaga. Allah firman dalam surah Al-Isra', surah ke 17, dalam ayat yg ke 32:
Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."

"Tapi bang,saya tak nampak pun yang kami ni menghampiri zina. Niat kami baik. Saya dah cuba sedaya upaya mengawal perhubungan kami. Sms pun takdelah jiwang-jiwang, selalu bagi tazkirah lagi. Kami selang-selang bagi, hari ni saya, esok dia."

Saya tak mahu mengalah.

"Memang betul niat nta baik. Tapi ingat, niat tak pernah menghalalkan cara. Yang batil tetap sahaja batil, yang haq tetap haq. Cuba tengok ayat ni."
Sambil brother tu bukak Al-Quran dia, dan tunjuk pada saya ayat ini:
Dan (juga) kaum Ad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari (puing-puing) tempat tinggal mereka. Dan setan menjadikan mereka memandang baik
perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.
(Surah Al-Anakabut,Surah 29, ayat 38)

"Akhi, kalau nta paham ayat ni, sebenarnya apa yang berlaku pada nta ialah, setan telah buat nta pandang indah benda buruk yang nta lakukan. Walaupun nta berpandangan tajam, maksudnya nta berilmu tinggi. Memang pada mulanya niat nta baik, tapi ingat, syaitan itu sangat licik. Dia akan sedaya upaya buat nta terjerumus ke dalam kemaksiatan. Lagipun, takkanlah sepanjang masa nta sms dengan dia, nta ingat Allah. Mesti ada masanya nta hanya melayan perasaan dengan dia, kan?"

Betul juga katanya. Lepas tu saya kata, "Tapi bang, saya dah janji dengan dia taknak jumpa lg. Sebab saya tahu kalau berjumpa nanti banyak bahayanya. Dan dia pun setuju. Kami sama-sama menjaga diri. Takkanlah ia boleh membawa kepada zina juga bang?"

"Em, betul, nta dah janji taknak jumpa dengan dia lagi. Nta dah dapat

elakkan zina mata, zina tangan, zina kaki. kalau nta janji taknak call die pula, nta dapat elak zina telinga dan zina lidah. Tapi akh..masih ada zina yang tetap nta tak dapat elak apabila bercouple.."

"Zina hati?" Saya menduga.

"Betul, zina hati. Semua inilah yang Rasulullah jelaskan dalam hadithnya tentang bagaimana menghampiri zina tu. Nta boleh 'check' dalam Riyadahus Solihin, bawah bab larangan melihat wanita. Rasulullah bersabda, mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia. Hakikatnye, macam mana pun nta buat, nta tetap tak dapat lari daripada zina hati."

Saya terdiam..kelu. Tak tahu apa nak dikata. Semua yang brother tu kata tiada yang salahnya. Kemudian dia sambung..

"Ana dulu pun couple gak. Lagi lama daripada nta. Sejak sekolah sampai dah masuk U, dekat nak gred. Tapi bila ana sedar apa yang ana buat ni salah, ana trus tinggalkan. Ana siap dah fikir, dialah bakal isteri ana, yang akan jadi ibu kepada anak-anak ana. Kalau nak diikutkan lagi besar masalah ana daripada nta."

"Saya risau la bang. Nanti apa kawan-kawan dia kata. Dulu saya selalu minta tolong mereka untuk rapat dengan dia. Mesti nanti mereka semua tak puas hati dengan saya. Dan dia sendiri pula, saya takut apa-apa akan jadi pada dia kalau dia tak dapat terima keputusan ni. Sebab kami dah rapat sgt."

Masa tu saya dah mula sebak. Malu betul. Menangis depan brother tu cerita pasal benda ni. Nasib baik tak ada org lain masa tu. Brother tu jwb..

"Kalau kawan-kawan dia tak puas hati pun, mereka boleh buat apa? Paling teruk pun, mereka akan mengata di belakang nta. Nta tak kurang sikit pun. Lagipun, dalam berdakwah ni, kita nak cari redha Allah, biarlah orang nak kata apa-apa sekali pun, yang penting redha Allah. Kalau Allah tak redha, semuanya dah tak bermakna lagi."

Saya trdiam lagi.

"Pasal die pula, cube nta fikir dari sudut positif, mungkin dia akan terima keputusan nta scara matang. Mungkin dia juga akan buat keputusan untuk tidak lagi bercouple. Ana yakin, die takkan buat apa-apa perkara bodoh. Kalau die buat sekalipun, itu bukan tagguungjawab nta, apa yang nta nak buat tu betul, meninggalkan maksiat. Semua orang akan tanggung balasan atas perbuatannya sndiri."

Saya dah tak dapat tahan lagi. Masa itu saya menangis, saya dah sdar yang saya kena berhenti couple. Dah jelas sekarang, couple tu haram.

"Jadi apa saya nak buat bang?"

"Ana dulu, hantar satu sms je kat dia. Ana terangkan pada dia hubungan yang dibina itu salah. Minta maaf, kita berakhir di sini. Tolong jangan cari saya lagi. Lepas itu ana terus tukar nombor. Ana tak hubungi dia langsung lepas tu."

"Maksudnya, saya tak boleh hubungi dia lagi ke? Tapi bang, saya ade juga kawan perempuan lain, boleh pula saya hubungi mereka?"

"Dengan dia ni lain. Nta dah pernah ada 'sejarah' dengan dia. Tapi, kalau nanti ditaqdirkan nta satu universiti dengan dia, satu kuliah, lepas tu kena pula buat group discussion, masa tu nta hanya layan dia hanya sebagai group discussion partner."

Tiba-tiba saya terfikir..

"Dia ni nak suruh aku clash malam ni gak ke? Sekarang gak? Takkanlah awal sangat?"

Saya cakap..

"Saya rasa saya belum ade kekuatan la bang. Boleh tak saya tunggu sampai saya ada kekuatan, baru saya tiggalkan benda ni?"

Saya ingat nak lari la. Lalu dia jawab..

"Akh, nta kena ingat. Kekuatan itu tidak boleh ditunggu, tapi ia perlu dibina. Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah keadaannya sendiri. Nta boleh rujuk surah Ar-Ra'du,surah ke-13,ayat 11. Lagipun, nta nak tuggu sampai bila baru nak tinggalkan couple ni..abang-abang fasilitator ni pun ramai yang pernah couple, bila masuk dakwah, mereka tiggalkan."

Alamak...tak boleh lari lagilah nampaknye..saya rasa macam brother ni paksa saya clash masa tu juga.

"Semuanya dah jelas rasanya..Nampaknya saya kena tiggalkanla benda ni gak ye. Macam tak larat rasanya nak tekan button handphone ni. Rasa tak sanggup."

"Kalau tak sanggup mari ana tolong tekankan."

"Eh, tak apalah bang. Biar saya taip sendiri."

Teragak-agak saya nak taip masa tu. Tapi saya gagahkn juga diri..

"Semuanya dah jelas..buat apa aku tangguh-tangguh lagi. Takut nanti hidayah ni Allah tarik, susah pula nak tinggalkan. Kan aku selalu doa supaya dijauhkan dari maksiat..jadi rasanya, inilah masanya.."


Lalu perlahan-lahan saya taip sms tu..

"Assalamualaikum..Sebenarnya selama ini hubungan kita salah di sisi Islam. Saya ingat dengan mengubah cara pergaulan kita, ia dah dibolehkan, tapi sebenarnya ia tetap berdosa. Saya harap awak akan istiqamah meneruskan perubahan yang awak dah buat, kerana Allah. Saya minta maaf atas segala yang dah berlaku. Kalau ada jodoh insya-Allah, akan bertemu juga. Assalamualaikum.."

Berat betul nak hantar sms tu kat awk. Saya masih tak mampu nak ucap selamat tiggal. Sebab tu dalam sms tu saya hanya akhirkan dengan ucapan salam. Lepas beberapa ketika..saya tekan juga button [send].

Lepas tu tertera di skrin..

[SENDING..]

[MESSAGE SENT]

Masa tu saya rasa macam separuh hidup saya dah hilang. Macam tak percaya..saya dah hantar 1 sms, dan clash dengan awak..

"Terima kasih bang.."

"Takpe, dah tanggungjawab.."

Malam tu saya saya tidur dengan linangan air mata..tak sangka..mmg tak disangka..Saya memang tak pernah terfikir untuk clash, tapi itulah yang terbaik untuk kita sbenarnya..
Tiba-tiba saya teringat ayat Allah..surah Al-Baqarah,ayat 216..

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.



*******



Masa terus berlalu.. Saya terus sibukkan diri dengan kerja-kerja lain. Dalam usaha nak lupekan awk, bukan senang,tapi saya terus cuba. Saya selalu bagi tazkirah, ingatkan orang.
Saya bagi ta'lim di msjid, terangkan pada orang, couple haram, tunjuk segala dalil.. Macam-macam yang berlaku..ada kritikan..ade gk yg stuju..tapi tak kisahlah semua tu..

Tiba-tiba satu pagi ni, dapat sms daripada awak..awak bagi gambar bunga..bawah tu ada ayat..

"Seindah gubahan pertama.."

Saya rasa awak masih tak dapat lupakan saya. Saya pun fikir.."Kena tegaskan rasanya". Lepas tu saya hantarlah sms ni. Dan rasanya itulah yg terakhir..

"Tiada yang lebih indah daripada mendapat keredahaan ilahi..seindah manapun gubahan pertama tu, selagi tak mendapat keredahaanNya, tetap tiada gunanya..

Assalamualaikum..saya tahu, dulu saya cakap, kalau ada jodoh, insya-Allah akan bertemu juga. Tapi saya taknak awak tunggu. Lupakan saya. Biar Allah yang menentukan..Lagi satu,

Jangan cari cinta manusia,
ia penuh dengan penipuan,
kekecewaan,
dan tak kekal..

Tapi carilah cinta Allah..
tiada penipuan,
tidakkan pernah mengecewakan
itulah cinta abadi..
Cinta yang diredahai..

-Yang Terakhir- "

[SEND]

[SENDING..]

[MESSAGE SENT]

Saya dah buat keputusan.
Saya pasti apa yang saya buat ni betul.
Saya yakin, Allah akan sediakan yang terbaik untuk saya.
Saya takkan berpatah balik..

Takkan..buat selama-lamanya. .

Sumber :
Link 1

Read more...

Adat Perkahwinan Yang Selari Dengan Tuntutan Islam

Perkahwinan merupakan perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Perkahwinan dianggap sebagai tali penyambung dalam menghubungkan dua manusia secara halal sehingga mendapat zuriat. Sistem perkahwinan orang Melayu secara dasarnya banyak menurut adat-adat masyarakat dahulu yang berkaitan dengan adat-adat orang Hindu. Namun dengan kedatangan Islam, banyak perubahan yang berlaku selaras dengan perubahan taraf kehidupan dan perubahan fikiran orang Melayu amnya. Walau bagaimanapun, akibat daripada amalan yang sudah lama dituruti dan telah bersemadi dalam kehidupan orang Melayu, terdapat adat yang masih kekal dan diikuti tetapi sudah ada perubahan, ditambah atau diringkaskan untuk selari dengan ajaran islam.

Agama Islam adalah sebuah agama yang bersifat syumulliyah dan universal. Maka, agama Islam sememangnya merupakan agama yang bercorak konvensional iaitu yang boleh diterima umum. Kita perlu faham bahawa Islam bukanlah agama yang diwahyukan untuk bangsa Arab sahaja bahkan Islam adalah agama yang relevan untuk semua bangsa di dunia ini. Oleh itu, Islam bukanlah dilihat sebagai agama yang menghapuskan kebudayaan sesuatu bangsa jika bangsa tersebut memilih Islam sebagai agamanya. Hal ini kerana, antara faktor yang menyebabkan agama Islam berkembang kepada setiap bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Begitulah juga halnya dalam soal upacara perkahwinan. Masyarakat Melayu sememangnya bebas untuk mengadakan upacara perkahwinan berdasarkan budaya dan adat mereka berdasarkan hadis sahih bukhari jilid iv:

“Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW. melihat banyak wanita dan anak-anak kembali dari suatu pesta perkahwinan. Lalu beliau berdiri lama-lama degan gembira, seraya berkata: “Hai Tuhan! Kamu ini semua adalah termasuk orang-orang yang paling saya cintai” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jelaslah disini bahawa islam tidak melarang mana-mana adat di dunia ini selagi ianya tidak melanggar hukum syarak.

Menurut Kamus Dewan (1997), adat bermaksud peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Manakala istiadat pula bermaksud berbagai-bagai adat yang diikuti. Jika dahulu masyarakat melayu hanya mengikut adat nenek moyang sahaja namun kini menteliti masyarakat melayu telah berubah seiring dengan perkembangan dan kemajuan yang dikecapi negara kita. Persoalanya adakah adat perkahwinan dewasa ini selari dengan tuntutan syariat Islam?

Adat-adat perkahwinan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Melayu ialah merisik, meminang, bertunang, majlis akad nikah, bersanding, dan walimatul urus iaitu majlis perkahwinan. Secara dasarnya perkahwinan orang Melayu dewasa ini selari dengan tuntutan Islam walau bagaimanapun, ada sebahagian upacara yang diadakan di dalam adat perkahwinan itu yang bercanggah dengan ajaran islam. Adat Meminang merupakan adat kebiasaan masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan dan merupakan suatu ikatan janji pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang. Pemberian seperti cincin kepada wanita semasa peminangan merupakan tanda ikatan pertunangan. Apabila berlaku keingkaran yang disebabkan oleh lelaki, pemberian tidak perlu dikembalikan dan jika disebabkan oleh wanita, maka hendaklah dikembalikan, namun persetujuan hendaklah dibuat semasa peminangan dilakukan.Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut. Menurut ustazah Marina Munira binti Abdul Muttalib dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amalan bertunang di dalam islam dipanggil khitabah dan ianya sama sekali tidak bertentangan dengan syariat islam tetapi apa yang berlaku sekarang ialah ada segelintir masyarakat yang bakal pengantin lelaki itu sendiri yang menyarungkan cincin kepada pasangannya. Hal ini jelas bertentangan dengan ajaran islam kerana mereka berdua lagi bukan muhrim.

Adat persandingan dilihat sebagai suatu perkara yang “wajib” bagi satu pasangan apabila berkahwin dari kaca mata kebanyakan masyarakat Melayu. Persandingan dalam masyarakat Melayu dapat ditakrifkan sebagai suatu perlakuan yang menempatkan pasangan suami-isteri yang telah diijab-kabulkan di atas pelamin yang dihias indah dengan mengenakan pakaian yang kemas dan cantik, berhias wajah serta dikipas oleh dua orang pengipas yang turut dikenali sebagai pengampit. Tujuan diadakan adat persandingan adalah untuk diperlihatkan pasangan pengantin tersebut kepada masyarakat setempat dan sebagai nostalgia manis dalam kehidupan pasangan pengantin tersebut selain bertujuan meneruskan tradisi nenek moyang secara turun-temurun.

Ustaz Syed Salim bin Syed hussin dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM berkata demi meraikan adat, Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan beberapa syarat iaitu hendaklah disandingkan secara tertutup di hadapan muhrim atau keluarga terdekat dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat sahaja. Walau bagaimanapun, jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan atau untuk mengisytiharkan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin atau para jemputan mestilah menutup aurat serta tidak berhias dengan keterlaluan kecuali perhiasan yang biasa dilihat.Terdapat beberapa upacara tertentu yang menimbulkan sedikit kontroversi dalam adat persandingan ini. Antara upacara tersebut ialah upacara menabur beras kunyit, membaca jampi mentera, berandam, berhias untuk dipamerkan (tabarruj), mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran, menjadikan wang atau hadiah sebagai suatu kemestian, mas kahwin dan hantaran yang mahal, dan lain-lain lagi. Upacara-upacara yang sedemikian rupalah yang menyebabkan adat persandingan masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan isu khurafat, tahyul serta pembaziran. Oleh itu, upacara persandingan dalam masyarakat Melayu perlu dijalankan berlandaskan lunas-lunas Islam agar ia tidak membawa kepada kemurkaan Allah. Islam bukanlah seperti pendapat yang dilahirkanan oleh Niccolo Macmeivili yang mengatakan konsep “niat menghalalkan cara”. Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.

“Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram” menurut Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu’asirat dan Halal & Haram fil Islam, halaman 36.

Selain dari itu, upacara perkahwinan yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu melibatkan perbelanjaan yang banyak dan besar. Situasi ini sememangnya mendorong kepada gejala pembaziran dalam masyarakat. Menurut Asma Farhana binti Anuar pelajar tahun akhir jurusan Usuluddin Universiti Malaya (UM) kebanyakan orang Melayu menganggap upacara walimah perlu dianjurkan secara besar-besaran kerana upacara ini hanya dilangsungkan sekali dalam seumur hidup. Oleh itu, perkara ini pada pandangan mereka tidak salah walaupun ia melibatkan isu pembaziran. Gejala ini dari perspektif Islam sememangnya tidak dianjurkan. Hal ini kerana, selain mewujudkan gejala pembaziran, gejala ini juga mampu memberikan pelbagai implikasi yang negatif dalam kehidupan masyarakat. Contohnya sifat riak dan takbur mungkin akan berleluasa dalam diri masyarakat. Pepatah Melayu yang berbunyi “biar papa asal bergaya” sememangnya tidak sesuai dijadikan pendirian dalam kehidupan kita. Islam merupakan agama yang mudah dan senang. Membicarakan isu walimah daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi : “Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam)” (Hadis Riwayat Bukhari)Berdasarkan hadis ini, walimah daripada konteks Islam tidaklah memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan. Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang membazir dalam setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat Al-Quran:“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau membazir(pemboros) dengan melampau (Surah Al-Isra:26)



Di samping itu, perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas’ud:

“Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”

Menurut Abu Thohib bin Ahmat 70 tahun, amalan andaman yang mengarut dan salah disisi syariat islam seperti menepung tawar dengan tujuan memelihara pasangan pengantin daripada gangguan mahkluk halus, bercukur yang melibatan percukuran bulu pada bahagian anak rambut, muka, leher dan tangan dengan tujuan untuk menaikkan seri muka, melangir iaitu menyapukan bedak sejuk yang dibasuh dengan air ke bahagian badan yang dicukur dan bermandi bunga dan limau dengan harapan untuk membuang sial tidak lagi diamalkan sekarang. Walau bagaimanapun akhir-akhir ini telah timbul satu fomonena baru dimana juru andam atau lebih dikenali sebagai mak andam yang terdiri dari kaum lelaki lembut atau lebih glamour dipangggil ‘mak nyah’. Hal ini jelas bertentangan dengan syariat Islam kerana aurat perempuan tidak boleh dipertontonkan kepada orang yang bukan muhrim.

Berinai adalah salah satu amalan semasa perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi saw tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra :

”Nabi melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi pun bersabda,” jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dgn inai).” (Abu Daud, 4166) dan (an-Nasa’iy 5092)

Haji Mohd Yusof Abdul Ghani, Hakim Syarie, Mahkamah Tinggi Pahang berkata ” memakai inai tidak salah selagi ianya tidak dipakai untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah “. Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

“Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi saw melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Za’faran (kuma-kuma) adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum. Dilarang memakai za’faran (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za’faran dari segi mengeluarkan warna dan bau. Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam islam dibolehkan berdasarkan hadis:

”Dalam riwayat al-Bukhari daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan.

Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda:

” Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”

Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Dewasa ini, ramai juga yang mengundang kugiran atau deejay untuk tujuan hiburan, seringkali hiburan itu berlebihan dan sampai kepada peringkat melampau, bahkan yang lebih buruk lagi kadangkala terdapat juga yang menganjurkan joget lambak dan ada pula yang mengundang “mak nyah”! Hal ini jelas tidak sesuai dan haram.

Maka dengan itu, tiada sebarang sebab upacara perkahwinan dilarang dalam Islam, namun pelaksanaannya sahaja yang perlu berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan Islam.

Jelaslah, Islam bukan sesuatu agama yang memberati para penganutnya dalam melayari arus kehidupan di dunia ini. Islam secara mudahnya merupakan agama yang diwahyukan untuk semua jenis manusia yang terdapat di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam tidak pernah melarang sama sekali para penganutnya daripada mengamalkan kebudayaan dan kesenian yang terdapat dalam setiap bangsa. Namun, perlu difahami bahawa setiap amalan yang dipraktikkan itu perlu selaras dan selari dengan syariat Islam. Begitu jugalah halnya dengan isu perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Ia boleh dilakukan dan diamalkan selagi ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Sumber :
Link 1

Read more...

Kongsi Raya Menurut Perspektif Syara'

Perbuatan meraikan perayaan kaum-kaum kafir samada perayaan yang disambut oleh golongan Nasrani, Yahudi ataupun Musyrikin , adalah sangat jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. " (TMQ. at-Taubah[9]:33)

Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkanNya terhadap semua agama.Dan cukuplah Allah sebagai saksi." (TMQ.al- Fath[48]:28).

Tafsiran kedua-dua ayat di atas dengan jelas menerangkan bahawa orang-orang kafir kesemuanya akan dimasukkan ke dalam neraka bersama penguasa mereka sebagaimana yang dikuatkan oleh Hadis Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya akan terbukalah bagimu ( kaum muslimin) bahawa bumi Allah dari timur sampai ke barat. Dan bahawa para penguasanya akan masuk neraka semuanya kecuali yang bertakwa dan melaksanakan amanat di antara mereka.” [HR Ahmad] - Tafsir Ibn Kathir.

Jadi, untuk apa kita menyambut perayaan kemenangan agama lain sedangkan mereka kesemuanya akan dihumban ke dalam neraka? Justeru, perbuatan untuk duduk bersama-sama di dalam majlis sambutan perayaan orang-orang kafir seolah-olah kita membenarkan kemenangan agama mereka. Padahal, Islam diutus untuk dimenang dan ditinggikan atas semua agama yang ada.

Kerapkali juga kita dapat lihat menerusi kaca-kaca TV, bagaimana sebahagian kaum muslimin yang berpakaian menyerupai kaum-kaum lain ketika menghadiri sambutan kongsi raya. Justeru itu, perbuatan tersebut termasuk di dalam apa yang dikatakan sebagai "tasyabbuh bil kuffar",yang bermaksud menyerupakan orang kafir. Suatu perbuatan yang mana sangat jelas bertentangan dengan aqidah Islam yang kita anuti. Islam melarang umatnya daripada meniru dan menyerupai perbuatan-perbuatan orang kafir. Larangan telah dinyatakan dengan tegas oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dengan sabdanya :

"Barangsiapa di kalangan kaum muslimin yang menyerupai atau meniru perbuatan-perbuatan orang kafir,maka dia dikalangan mereka( orang-orang kafir)." (HR. Abu Daud,Al-Baihaqi,Ibnu Majah,Ahmad dan Ad-Daruquthni)

Terdapat suatu kisah yang melibatkan Abdullah Bin Salam. Beliau dan beberapa sahabat mereka yang lain pernah suatu ketika meminta kepada Rasulullah SAW agar mengizinkan mereka meraikan atau mengagungkan Hari Kebesaran orang-orang Yahudi iaitu Hari Sabtu ,di samping membenci daging dan susu unta. Setelah Rasulullah SAW mendengar permintaan tersebut, maka Rasulullah saw terus menegur dan memberi peringatan kepada mereka.

Daripada huraian di atas, menyambut perayaan kaum atau agama lain itu termasuk di dalam perbuatan yang dicela oleh Islam. Ini adalah kerana ia boleh merosakkan aqidah seseorang muslim. Apapun, kongsi raya juga merupakan salah satu perbuatan yang dianggap sebagai redha terhadap agama dan kepercayaan mereka,di samping secara tidak sedar mereka telah mengiktiraf dan mengakui wujudnya agama selain daripada Islam. Inilah yang dikatakan bahaya ancaman idea Pluralisme yang menganggap bahawa semua agama adalah sama. Tidak ada bezanya antara Islam dan juga agama-agama yang lain. Bertunjang daripada idea Pluralisme inilah, maka berbagai kelompok-kelompok Islam yang telah diracuni oleh pemikiran kufur dan telah membolehkan sambutan kongsi raya di adakah di Malaysia ini dengan alasan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia. Inilah akibatnya,jika umat Islam tidak dipandu oleh aqidah Islam yang benar. Mereka juga tidak menjadikan halal-haram sebagai kayu ukur di dalam melakukan sesuatu perbuatan (miqyasul 'amal).Mereka lebih cenderung untuk bersandarkan kepada manfaat, untung-rugi ataupun maslahat tanpa merujuk kepada ketetapan syara'. Salah satu kaedah syara yang mashyur bermaksud : " Asal tiap-tiap perbuatan terikat dengan hukum-hukum syara'."(Al-Ashlu Fi Al-Af'al At-Taqayyudu Bi Ahkam Asy-Syar'ie). Jadi, semua perbuatan kita adalah terikat dengan hukum syara'. Maka, pada dasarnya adalah wajib bagi setiap muslimin untuk mengetahui setiap hukum syara' yang berkaitan dengan amal kehidupannya sehari-hari. Setiap perbuatan yang tidak didasarkan kepada aturan Allah SWT dikhuatiri akan menyebabkan kita terjerumus ke dalam kebinasaan dan kerosakkan.

Justeru, sekiranya telah jelas sesuatu keharaman itu , ia tidak perlulah dilakukan sebarang kajian lagi. Jadi, mengapakan masih ada gesaan daripada pihak dan pertubuhan tertentu agar dilakukan kajian semula tentang konsep sambutan kongsi raya tersebut. Adakah untuk diubah agar bersesuaian dengan Islam? Sesungguhnya, jika terdapat sebarang usaha untuk mengolah semula konsep sambutan tersebut, ia juga dianggap telah terkeluar daripada ajaran Islam. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas,dan diantara kedua-kedua itu ada perkara-perkara yang syubhat( samar),maka barangsiapa yang telah mejauhi perkara syubhat tersebut bererti dia telah menjaga agamanya." (HR. Al-Bukhari).

Begitu juga sabdanya lagi yang bermaksud :

"Yang halal itu ialah apa-apa yang telah dihalalkan oleh Allah swt di dalam kitabnya,dan yang haram itu ialah apa-apa yang telah diharamkan oleh Allah SWT di dalam kitabnya. "

Kedua-kedua hadis tersebut telah menjelaskan kepada kita bahawa yang halal dan haram itu adalah jelas. Maka janganlah kita mencampur-adukkan yang hak dan batil semata-mata kerana tujuan kemaslahatan. Hakikatnya, kemaslahatan itu bukannya ditentukan oleh manusia, sebaliknya ia ditentukan oleh Allah SWT sebagai Pencipta kita. Ingatlah, ketika mana adanya penerapan hukum syari'at, pasti akan ada kemaslahatan. Ini bertepatan dengan kaedah syara' yang bermaksud :

"Di mana ada penerapan dan perlaksanaan hukum Islam,maka pasti akan ada kemaslahatan. "(Haisuma Yakunu Asy-Syar'u Takunu A-Mashlahah).

Sekiranya,tidak ada penerapan dan perlaksanaan hukum Islam, maka sudah tentu kemaslahatan itu tidak akan wujud.

Wallahu alam.

Sumber :
Link 1

Read more...

Kongsi Raya : Keharamannya Jelas

Sekiranya diteliti, kenyataan dan pandangan umum terhadap isu kongsi raya ini banyak disandarkan kepada aspek perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian antara golongan etnik berbeza agama di Malaysia. Sebelum perbincangan mengenai isu ini boleh diteruskan, realiti permasalahan ini perlu difahami terlebih dahulu. Perlu dijelaskan di sini bahawa bagi seorang Muslim, setiap perbuatan kita dipandu sepenuhnya oleh hukum syara’ dan adalah haram bagi kita untuk menjadikan rujukan selain Islam (termasuk pendapat yang tidak disandarkan kepada nas) dalam menentukan hukum bagi sesuatu perbuatan itu. Oleh itu, dalam membincangkan persoalan di atas, hanya pandangan dari Islam sahajalah yang wajib dijadikan sebagai rujukan dalam menentukan sikap kita terhadap isu ini.

Apa yang wajib kita fahami adalah, walau apa jua hukum yang datang dari Islam, sekiranya ia merupakan hukum yang diistinbat (diperoleh) melalui kefahaman yang benar dari Al-Quran, Sunnah, Qiyas mahupun Ijma’ Sahabat, maka ia pasti akan membawa kemaslahatan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Dari itu, sekiranya suatu perbuatan itu ‘diperbolehkan’ atas alasan yang datang dari perspektif pemikiran manusia, tanpa disandarkan kepada nas, seperti pemahaman manusiawi terhadap konsep kemaslahatan, keharmonian dan kesejahteraan, maka ia tidak boleh diterima di dalam Islam. Keharmonian dan kesejahteraan yang hakiki hanyalah dapat diperolehi dengan melakukan sesuatu perbuatan yang selari dengan kehendak Islam, bukannya kehendak manusia.

Meraikan perayaan keagamaan kaum bukan Islam tidak kira samada perayaan tersebut disambut oleh golongan Nasrani, Yahudi atau golongan Musyrikin (seperti Hindu, Buddha, Sikh) adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam. ‘Meraikan’ di sini termasuklah mengucapkan selamat atau pun menghadiri majlis-majlis perayaan keagamaan mereka. Perbuatan ini termasuk sebagai mengiktiraf atau redha kepada agama mereka atau dengan kata lain, redha agar mereka kekal dalam agama mereka dan redha Allah disyirikkan (dijadikan gandingan) oleh mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya deen (yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam” [TMQ Ali Imran (3):19] dan di dalam firmanNya yang lain, “Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” [TMQ Ali Imran (3):85].

Fahamilah wahai kaum Muslimin bahawa Allah tidak redha kepada mana-mana agama selain Islam. Rasulullah diutus dengan kalimah “La ilaha illallah” (tidak ada Tuhan selain Allah) yang membawa maksud “La ma’buda illallah” (tidak ada Tuhan yang boleh disembah melainkan Allah). Di dalam satu hadis, Rasulullah bersabda “Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah...”. [HR Bukhari dan Muslim]. Semenjak Muhammad di angkat oleh Allah menjadi Rasul, maka baginda tidak pernah berhenti mengajak manusia untuk menyembah Allah semata-mata tanpa mensyirikkanNya dengan suatu apa pun. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah redha terhadap manusia yang menyembah selain Allah dan baginda berusaha berdakwah bersungguh-sungguh agar mereka hanya menyembah Allah yang Satu, walaupun Nabi terpaksa berhadapan dengan penentangan dan penyiksaan yang keras dari golongan musyrikun.

Perlu difahami dengan sejelas-jelasnya bahawa kita umat Islam tidak boleh redha kepada agama selain Islam, kerana Allah sendiri tidak meredhainya. Kita umat Islam tidak boleh redha melihat manusia mempercayai wujudnya tuhan lain (dan menyembah) selain Allah. Allah adalah Tuhan kita, Tuhan bagi semua manusia (termasuk orang-orang kafir) dan Tuhan sekelian alam. Di dalam hal ini, apa yang tidak boleh kita lakukan ialah memaksa mereka untuk memeluk Islam. Tidak boleh memaksa mereka memeluk Islam tidak bermakna kita boleh redha kepada agama mereka atau kita bermusuhan dengan mereka (kecuali kafir yang memerangi Islam). Ia juga tidak bermakna kita melarang mereka merayakan hari agama mereka. Apa yang haram kepada kita adalah memaksa mereka masuk Islam, sebaliknya apa yang wajib kepada kita adalah berdakwah kepada mereka agar masuk Islam. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita. Kita meyakini bahawa aqidah kita (Islam) adalah satu-satunya aqidah yang benar. Maka kita wajib menerangkan kepada mereka tentang aqidah yang benar ini dan menjelaskan kepada mereka kesalahan aqidah mereka.

Wahai kaum Muslimin! Kita haruslah membezakan sambutan keagamaan dan sambutan yang bukan berlandaskan agama. Sambutan Deepavali berbeza dengan sambutan Hari Kemerdekaan atau Tahun Baru. Deepavali adalah ‘sambutan agama’. Jika kita kaji sejarah disebalik perayaan ini, kita akan dapati bahawa Deepavali (atau Diwali) di sambut kerana memperingati peristiwa Dewa (Tuhan) Krishna yang telah membunuh syaitan (demon) bernama Narakasura. Diriwayatkan bahawa Narakasura adalah pemerintah sebuah negeri yang bernama Pradyoshapuram. Di bawah pemerintahannya, rakyat menderita pelbagai kesusahan. Dia menzalimi rakyatnya dan menculik wanita-wanita dan memenjarakan mereka di istananya. Melihat kejahatannya, maka Dewa (Tuhan) Krishna lalu turun memusnahkannya dan hari pembunuhan/kematian Narakasura ini diraikan sebagai Deepavali, sebagai kemenangan sebuah kebaikan mengatasi kejahatan. Ada juga beberapa riwayat lain tentang asal-usul perayaan Deepavali. Ada yang berpendapat ia diraikan sempena perkahwinan Lakshmi dengan Dewa (Tuhan) Vishnu. Ada juga yang menyatakan hari restu di mana Dewa (Tuhan) Rama kembali ke Ayodhya setelah mengalahkan Ravana dan terdapat beberapa kisah lain lagi. [http://www.abcmalaysia.com/tour_malaysia/deepavali.htm]. Inilah kepercayaan penganut Hindu terhadap Deepavali.

Wahai kaum Muslimin, cubalah fikirkan dengan sejernih-jernihnya tentang mengucap selamat atau menghadiri majlis Deepavali. Bukankah ucapan Selamat Menyambut Deepavali bermakna, “Selamat meraikan hari di mana Dewa (Tuhan) Krishna berjaya membunuh syaitan Narakasura” atau “Selamat menyambut hari ulangtahun perkahwinan Lakshmi dengan Dewa (Tuhan) Vishnu”!!! Apakah ini tidak terkait dengan persoalan aqidah? Walaupun kita hanya mengeluarkan ucapan ‘selamat’ kepada ‘individu’ yang beragama Hindu, tetapi terfikirkah kita tentang maksudnya dan kepada ‘siapakah’ ucapan itu pergi? Pernahkan Rasulullah mengucapkan selamat untuk Latta dan Uzza atau kepada penyembah-penyembahnya. Pernahkah Rasulullah mengiktiraf agama penyembah Latta dan Uzza dan meraikan perayaan mereka? Adakah Rasullullah berdiam diri (apatah lagi membenarkan) penyembah-penyembah berhala yang mensyirikkan Allah? Pernahkah Rasulullah berkompromi dengan mana-mana kaum Musyrikin dalam masalah aqidah?

Pernah Abdullah bin Salam dan beberapa sahabat yang lain meminta kepada Rasulullah agar mengizinkan mereka meraikan atau mengagungkan hari kebesaran orang Yahudi (Hari Sabtu) di samping membenci daging dan susu unta. Setelah Rasulullah mendengar permintaan tersebut, maka Rasulullah terus menegur dan memberi peringatan kepada mereka akan keharaman menyertai perayaan seperti itu. Larangan ini dinyatakan dengan jelas oleh junjungan besar kita Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan sabdanya, “Barangsiapa di kalangan kaum Muslimin yang menyerupai atau meniru perbuatan orang kafir, maka dia itu adalah di kalangan mereka (orang-orang kafir)” [HR Abu Daud, Al-Baihaqi, Ibn Majah dan Ad-Daruquthni]

Huraian di atas menjelaskan kepada kita sikap yang sewajarnya ada pada setiap Muslim dalam menangani isu menyambut perayaan keagamaan kaum kuffar. Ada pendapat yang menyatakan kita harus menerima perbezaan pendapat di dalam amalan kongsi raya ini dan semua pendapat perlu dihormati. Pendapat ini sebenarnya muncul berdasarkan ‘kompromi’ semata-mata untuk menjaga sensitiviti umat Islam dan penganut agama lain. Pendapat sebegini adalah keliru kerana perkara yang dibincangkan di sini adalah melibatkan aqidah, bukan masalah furu’ (cabang). Dan (bagi masalah aqidah) jawapan yang ringkas adalah, mesti ‘satu benar dan satu salah’. Tambahan lagi, hukum yang diperbincangkan di sini adalah halal dan haram, bukannya sunat dan makruh. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas dan antara kedua-dua itu ada perkara yang syubhat (samar), maka barangsiapa yang telah menjauhi perkara syubhat tersebut bererti dia telah menjaga agamanya” [HR Bukhari].

Maka oleh itu, janganlah kita mencampur adukkan yang haq dan batil semata-mata kerana tujuan maslahat, yang diukur berdasarkan aqal kita atau aqal manusia lain. Maslahat hanyalah apa yang dikatakan sebagai maslahat oleh Allah. Dengan kata lain, kemaslahatan ini bukanlah ditentukan oleh manusia sebaliknya ia ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai Zat yang Maha Mengetahui yang manakah maslahat untuk hamba-hambaNya. Contohnya, walaupun manusia membenci peperangan kerana (pada pendapat manusia) ia tidak akan mendatangkan maslahat sedikitpun, tetapi ini adalah hukum Allah ke atas umat Islam. Allah-lah satu-satunya Zat Yang Maha Menentukan apakah maksud maslahat dan tugas manusia hanyalah mematuhi perintahNya. Insya Allah, kemaslahatan yang hakiki akan dicapai apabila perintah Allah dipatuhi.

Ukuran Sejahtera Dan Harmoni

Kembali kepada persoalan ‘kesejahteraan dan keharmonian’. Ada yang menganggap bahawa hukum Islam ke atas isu ini langsung tidak membantu dalam mengekalkan ‘kesejahteraan dan keharmonian’ antara kaum di Malaysia dan tidak wajar diberi perhatian. Malah tidak kurang juga yang menganggap bahawa hukum Islam ke atas isu ini boleh merosakkan ‘kesejahteraan dan keharmonian’ sedia ada. Bagi menangani persoalan ini, beberapa perkara yang harus diperhatikan:

Pertama: Keharaman menyambut perayaan orang kafir adalah suatu yang jelas. Sama jelasnya dengan keharaman arak, makan babi, riba dan murtad. Bagi seorang Muslim yang benar-benar mahu menjaga agamanya dan yang takut kepada balasan Allah ke atasnya, keharaman-keharaman ini tidak boleh dikompromi untuk maslahat apa sekalipun. Dan ini merupakan suatu yang seharusnya difahami oleh penganut agama lain. ‘Keharmonian dan kesejahteraan’ hanya akan dapat dikecapi sekiranya umat Islam memahami isu ini dan menjelaskannya kepada penganut agama lain agar menghormati hukum Islam mengenainya. Sebagai contoh, golongan bukan Islam memahami bahawa babi adalah haram ke atas orang Islam dan mereka menghormati hukum Islam dalam hal ini dan tidak pernah timbul soal ketidakharmonian. Begitu juga isu murtad yang sepatutnya tidak akan menjadi suatu ’isu’ pun sekiranya masyarakat bukan Islam memahami dan menghormati hukum Islam mengenai isu tersebut dan tidak mempertikaikannya.

Kesejahteraan dan keharmonian juga akan terealisasi sekiranya kaum bukan Islam memahami dan menghormati hakikat bahawa kaum Muslimin tidak boleh menyertai atau mengucap selamat bagi perayaan keagamaan mereka. Hal ini tidak bermakna kita ingin bermusuh dengan mereka atau ingin mewujudkan keadaan yang hura-hara. Keadaan ini sama sebagaimana mereka harus memahami dan menghormati hukum Islam bahawa kita tidak boleh berkahwin dengan mereka (kecuali ahli kitab). Apakah dengan ini Islam dikatakan ekstremis? Ini bukan soal ekstremis atau ingin memecahkan perpaduan. Ini adalah perintah Allah. Apa yang menjadi pegangan kita adalah perintah dan larangan Allah atau halal dan haram. Kita sebagai umat Islam wajib menjelaskan kepada orang kafir bahawa segala hukum Allah mestilah dihormati oleh mereka dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun dan atas alasan apa sekalipun!!!

Kedua: Apakah ‘perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan’ hanya akan dapat dicapai dengan meraikan perayaan keagamaan kaum kafir? Dan apakah benar bahawa jika tidak mengucap selamat dan menyertai perayaan tersebut ini akan memecahbelahkan ‘kesatuan dan keharmonian’ yang wujud? Apakah dengan tidak menyambut perayaan keagamaan kaum bukan Islam, bermakna umat Islam menolak ‘keharmonian dan kesejahteraan’ hidup berbilang bangsa dan agama? Adakah belasan atau puluhan tahun yang lepas kita hidup dalam kacau bilau kerana tidak pernah berkongsi raya? Bukankah banyak lagi interaksi yang tidak berkaitan dengan perayaan agama boleh dijadikan asas kepada kehidupan penuh ’keharmonian dan kesejahteraan’? Inilah hasilnya apabila hukum aqal dijadikan panduan, bukannya hukum Allah. Manusia terkeliru dan tersalah di dalam menafsirkan perpaduan dan keharmonian.

Ketiga: Kemaslahatan, yang termasuk di dalamnya perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum, dalam bentuk yang hakiki, hanya akan dapat direalisasi sekiranya hukum Allah diterapkan sepenuhnya. Dan dalam aspek ini, hubungan antara kaum Muslimin dan kaum kafir telah digariskan secara menyeluruh dalam Islam. Semua hukum-hakam ini termasuk di dalam hukum bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah.

Pemahaman terhadap perkara pertama dan kedua yang telah dibincangkan di atas akan memberikan kepada kita gambaran yang jelas mengenai kekeliruan yang wujud di sekitar hukum kongsi raya dan isu ‘kesejahteraan dan keharmonian’. Ia juga memberikan gambaran tindakan yang seharusnya di ambil agar penyelesaian ‘jangka pendek’ terhadap isu ini dapat diperolehi supaya masalah ini tidak lagi berulang di masa-masa akan datang. Perkara ketiga, yang merupakan perkara yang wajib kita ambil sepenuhnya, adalah penyelesaian hakiki terhadap masalah ini melalui penerapan hukum Ahlul Zhimmah secara menyeluruh yang pasti akan membawa kesejahteraan yang sebenar-benarnya.

Hukum Mengenai Ahlul Zhimmah

Daulah Khilafah Islamiyyah secara berkesinambungan telah memerintah selama lebih 1300 tahun dan wilayah kekuasaannya meliputi hampir dua pertiga dunia. Dalam perjalanannya yang cukup lama ini, Islam telah diterima oleh pelbagai kaum dan keadilannya telah dikecapi oleh pelbagai bangsa di dunia ini. Rahsia kejayaan Islam dalam mengembangkan sayapnya ini terletak pada aqidahnya yang benar dan bertepatan dengan fitrah manusia. Kemurnian aqidah Islam mudah diterima oleh pelbagai bangsa. Setelah menganut Islam, mereka bukan setakat meyakini, malah menjadi pengembang aqidah dan Deen ini. Bagi yang kekal dalam kekafiran, mereka membayar jizyah, sebagai ketundukan mereka kepada Daulah Islam dan mereka mengecapi keadilan Islam sebagai warganegara Daulah. Mereka ini digelar sebagai Ahlul Zhimmah atau kadangkala disebut sebagai kafir zhimmi. Asal katanya adalah azh-zhimmah yang bererti al-‘ahd atau perjanjian. Islam telah banyak menjelaskan tentang hukum Ahlul Zhimmah. Bahkan ada ulama yang menulis kitab khusus mengenai hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan Ahlul Zhimmah. Misalnya Ibn Qayyim al-Jawziyah yang menulis kitab Ahkam Ahlul Zhimmah. Hukum-hukum yang bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah merupakan suatu subjek yang luas. Namun di sini kami ketengahkan beberapa hukum utama mengenainya:

(a) Ahlul Zhimmah tidak boleh dipaksa masuk Islam. Rasulullah pernah menulis surat untuk penduduk Yemen, “Siapa sahaja yang beragama Yahudi atau Nasrani, dia tidak boleh dipaksa meninggalkannya dan wajib atasnya jizyah” [HR Abu Ubaid]. Hukum ini berlaku untuk golongan kafir secara umumnya, termasuk yang beragama Hindu, Buddha mahupun Majusi. Mereka bebas menganut aqidah mereka dan menjalankan ibadah menurut keyakinan mereka.

(b) Ahlul Zhimmah wajib membayar jizyah kepada Daulah. Jizyah dipungut dari Ahlul Zhimmah lelaki, baligh dan mampu; Abu Ubaid radhiAllahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Khalifah Umar al-Khattab pernah mengirim surat kepada Amir al-Ajnad bahawa jizyah tidak diwajibkan ke atas perempuan, anak-anak dan mereka yang belum baligh. Bagi yang tidak mampu kerana cacat atau tua, Baitul Mal akan membantu pembayaran jizyah mereka. Pada saat pembayaran jizyah, Negara wajib melakukannya secara baik dan tidak boleh disertai penyiksaan atau kekerasan.

(c) Dibolehkan bagi kaum Muslimin memakan sembelihan dan bagi seorang Muslim untuk menikahi wanita Ahlul Zhimmah jika mereka adalah ahlul-kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani. Ini adalah berdasarkan firman Allah, “Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan al-Kitab halal bagimu dan makanan (sembelihan) kamu halal bagi mereka. Demikian pula wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan dari orang-orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu” [TMQ al-Maidah(5):5]. Namun begitu, jika Ahlul Zhimmah bukannya ahlul kitab, maka sembelihan dan wanita mereka adalah haram bagi seorang Muslim. Sebagai tambahan, adalah haram bagi seorang Muslimah untuk menikahi seorang lelaki ahlul kitab.

(d) Boleh dilakukan muamalah antara kaum Muslimin dengan Ahlul Zhimmah dalam berbagai bentuknya. Ini termasuklah jual beli, sewa menyewa, persyarikatan, pajak gadai dan sebagainya. Rasulullah pernah melakukan muamalah dengan kaum Yahudi di Khaibar di mana kaum Yahudi itu mendapatkan separuh dari hasil kurmanya. Cuma yang perlu diperhatikan di sini adalah bahawa setiap jenis muamalah ini mestilah menurut hukum Islam, bukannya hukum kufur.

(e) Ahlul Zhimmah adalah rakyat Daulah Islamiyyah. Mereka mendapatkan hak sebagaimana rakyat lainnya yang Muslim. Mereka mendapat hak perlindungan, pendidikan, keamanan, kesihatan dan diperlakukan secara baik dalam segala bentuk muamalah. Dilarang menyakiti Ahlu Zhimmah. Kedudukan mereka sama di hadapan penguasa dan hakim. Tidak boleh wujud sebarang perbezaan apa pun antara mereka dengan rakyat yang Muslim, kecuali dalam hal yang telah dijelaskan syara’. Negara Islam wajib berlaku adil kepada mereka sepertimana ia berlaku adil kepada rakyatnya yang Muslim.

Wahai kaum Muslimin! Hukum-hakam ini telah direalisasikan selama 13 abad dan selama itu, kesejahteraan dan keharmonian hakiki telah dikecapi oleh kaum Muslimin dan kafir zhimmi. Pelbagai peristiwa di dalam sejarah telah membuktikan hakikat ini. Ketika kaum Salibiyyin Nasrani ingin menghancurkan kaum Muslimin, mereka mengharapkan dua perkara yang membantu mereka. Salah satu darinya adalah harapan bahawa golongan Nasrani yang tinggal di dalam Daulah akan membantu mereka menghancurkan kaum Muslimin. Namun apa yang berlaku adalah amat memeranjatkan mereka. Golongan Nasrani (yang ada di dalam Daulah) telah bersama-sama dengan kaum Muslimin menentang kaum Salibiyyin. Bagi golongan Nasrani ini, mereka menganggap bahawa Daulah ini adalah tanah tumpah darah mereka, mereka hidup bersama-sama kaum Muslimin dengan kesejahteraan dan keadilan Islam. Mereka yakin hanya Islam sahajalah yang dapat menjamin hak-hak mereka dan mereka benar-benar hidup harmoni bersama kaum Muslimin di bawah naungan Islam. Dalam konteks ini, al-Qurafi menyebut:

‘Adalah wajib bagi kaum Muslimin untuk melayan golongan zhimmi dengan kelembutan, membantu golongan fakir antara mereka, memberi makan bagi yang lapar antara mereka, memberi pakaian bagi yang tidak berpakaian antara mereka dan menyeru mereka dengan kata-kata yang baik. Kaum Muslimin juga harus sama-sama menanggung penderitaan jiran ahlul zhimmah mereka, meskipun sekiranya penderitaan itu berjaya diatasi; ini adalah sebahagian dari sifat pengasih yang perlu ada, bukan kerana mengagungkan mereka. Kaum Muslimin juga haruslah memberikan nasihat yang baik dalam setiap urusan kepada mereka, menghalang sesiapapun yang cuba mencederakan mereka serta menjaga harta benda, keluarga dan kemuliaan mereka. Pertahankan juga segala hak mereka dan layanilah mereka dengan penuh kemuliaan dan akhlak yang mulia’ [Daulah Islamiyyah, Taqiyuddin An-Nabhani].

Wahai kaum Muslimin! Inilah layanan yang dijanjikan Daulah Islam kepada golongan kafir zhimmi. Banyak lagi catatan-catatan sejarah yang membuktikan kemaslahatan hakiki yang dinikmati oleh orang kafir yang hidup di dalam Daulah Khilafah, termasuklah yang ditulis oleh orang kafir itu sendiri, terutamanya para orientalis. Penerapan kaffah Islam oleh Rasulullah dan para Khalifah sesudahnya benar-benar telah membawa rahmat, keharmonian dan kesejahteraan kepada umat manusia sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Inilah rahmat yang datang dari Zat Yang Mencipta manusia, alam dan kehidupan. Pencipta yang sepatutnya dan sewajibnya disembah oleh semua manusia. Barangsiapa yang menyekutukanNya, maka nerakalah tempat kembali yang paling sesuai untuknya. Rahmat yang telah hilang sejak runtuhnya Daulah Khilafah ini Insya Allah, akan kembali diturunkan olehNya, apabila Khilafah memerintah dunia sekali lagi dan menerapkan segala hukum-hakamNya. Di ketika dan saat itu, manusia akan berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan meninggalkan segala kekufuran. Semoga Allah menyegerakan kembalinya hari tersebut kepada kita. Amin ya Rabbal ’alamin.

Sumber :
Link 1

Read more...
================Far East - Cinta Pertama================

  © Nur Islam are brought to you by Mohd Fahmi bin Hussain 2009

Back to TOP