Terbalik Tangan Ketika Mohon Tolak Bala

Sudah menjadi satu tradisi masyarakat melayu terutamanya di Malaysia iaitu menterbalikkan tangan ketika berdoa memohon dijauhkan bala. Di manakah sumber amalan ini??
Apabila diteliti, rupanya di sana terdapat satu riwayat yang menjelaskan keadaan ini :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِك أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاء

Maksudnya :
“Sesungguhnya Nabi SAW ketika “istisqa” (memohon hujan) menunjukkan belakang kedua tangannya ke arah langit”
(Hadith Sahih, Riwayat Muslim, bab mengangkat kedua tangan ketika berdoa sewaktu istisqa’)

Umumnya, hadith ini menjelaskan bahawa seorang sahabat yang menyaksikan keadaan itu iaitu Anas bin Malik menceritakan bagaimana keadaan Rasulullah saw berdoa ketika istisqa’(memohon hujan).

Setelah diteliti, beberapa pendapat ulama antaranya Imam al-Nawawi dan al-San’ani berpendapat bahawa sunnah menterbalikkan tangan ketika berdoa memohon dijauhkan bala bersandarkan dalil ini. (Lihat kepada Syarah Muslim oleh al-Nawawi dan Subul al-Salam oleh al-San’ani)

Walaupun begitu, ada juga ulama yang berpendapat sebaliknya, antaranya Ibn Taymiyyah dan Ibn Rejab. Mereka berpendapat bukan begitu apa yang dimaksudkan oleh Anas bin Malik. Bagi mereka apa yang dimaksudkan oleh Anas bin Malik adalah Rasulullah mengangkat kedua tangannya terlalu tinggi sehinggakan belakang tangannya terhala ke arah langit. (Lihat kepada Fath al-Bari oleh Ibn Rejab dan al-Mustadrak ’ala Majmu’ al-Fatawa oleh Ibn Taymiyyah)

Mari sama-sama kita teliti, apakah maksud sebenar yang ingin di sampaikan oleh Anas bin Malik. Asas kita adalah hadith Anas bin Malik riwayat Muslim ini.

Ditinjau kepada dirayah al-hadith (fiqh hadith), di dapati kalimah yang digunakan oleh Anas bin Malik adalah (asyara ila) iaitu ’menunjukkan kepada’. Perkataan ’tunjuk’ beerti mengarahkan jari telunjuk kepada sesuatu perkara. Dalam konteks hadith ini, Rasulullah saw menunjukkan (mengangkat dengan tinggi) tangannya ke arah langit.

Ditinjau lagi kepada riwayat lain ada dilaporkan :

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى بْنُ حَمَّادٍ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةَ أَنَّ أَنَسًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حَدَّثَهُمْ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلَّا
فِي الِاسْتِسْقَاءِ فَإِنَّهُ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ

Maksudnya : “ Nabi SAW tidak mengangkat kedua tangannya ketika berdoa kecuali dalam istisqa’. Sesungguhnya Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kelihatan putih ketiaknya.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari, bab sifat Nabi saw)

Kesimpulan awal kita ketahui bahawa Rasulullah saw ketika istisqa’ berdoa dengan mengangkat tinggi tangan mulia Baginda saw ke arah langit sehingga menampakkan putih ketiaknya.

Tetapi adakah seperti yang ditafsirkan oleh Imam al-Nawawi (menterbalikkan tangan) ataupun seperti pendapat Ibn Rejab (mengangkat terlalu tinggi sehigga belakang tangan terarah ke langit)?

Diteliti dengan mendalam lagi, dijumpai pula di sana riwayat lain yang berkaitan doa, iaitu Rasulullah menyuruh kita berdoa menggunakan perut tangan dan bukanlah belakang tangan. Kita lihat riwayat ini :


حَدَّثَنَا أَبُو ظَبْيَةَ أَنَّ أَبَا بَحْرِيَّةَ السَّكُونِيَّ حَدَّثَهُ عَنْ مَالِكِ بْنِ يَسَارٍ السَّكُونِيِّ ثُمَّ الْعَوْفِيِّ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا سَأَلْتُمْ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا

Maksudnya : “Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa) maka mintalah dengan perut tangan kamu, dan jangan kamu meminta menggunakan belakang tangan” (Sunan Abu Dawud, bab al-Dua’, Al-Albani meletakkan hadith ini sebagai Hasan Sahih, lihat kepada Sahih wa al-Dhaif Sunan Abi Dawud)


Setelah meneliti riwayat yang berkaitan dan bahasa, kecenderungan untuk memilih pendapat Ibn Taymiyyah dan Ibn Rejab lebih kuat. Bahkan, Ibn Taymiyyah menyimpulkan bahawa riwayat yang melarang menggunakan belakang tangan ketika berdoa adalah penyelesaian kepada kes ini.

Kesimpulannya, tafsiran yang paling hampir terhadap perkataan Anas bin Malik adalah bukanlah menterbalikkan tangan, tetapi belakang tangan terarah ke langit disebabkan mengangkat tangan terlalu tinggi. Cara berdoa seperti inilah disebut oleh Ibn Abbas sebagai Ibtihal.

Wallahualam…

Sumber :

3 comments:

  1. Alhamdullilaah...
    Sejuk hati bukak blog anda...

    erm.. blaja pe??pening???
    tak kenal,maka xcinta...
    tiada yang senang didunia ini...

    ReplyDelete
  2. to Payche: time kaseh..hmm..btul la 2!

    ReplyDelete
  3. perselisihan pendapat adalah perkara biasa... memang sesetengah perkara akan dianggap bidaah... tapi jangan sesekali meninggalkan perkara yang rukun..

    ReplyDelete