Doa Bangun Tidur



Ertinya:
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami sesudah mati (tidur) kami dan kepadaNya kami kembali


 
Ertinya:
Segala puji bagi Allah yang mengembalikan roh kepadaku dan menyihatkan jasadku

Read more...

Terbalik Tangan Ketika Mohon Tolak Bala

Sudah menjadi satu tradisi masyarakat melayu terutamanya di Malaysia iaitu menterbalikkan tangan ketika berdoa memohon dijauhkan bala. Di manakah sumber amalan ini??
Apabila diteliti, rupanya di sana terdapat satu riwayat yang menjelaskan keadaan ini :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِك أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاء

Maksudnya :
“Sesungguhnya Nabi SAW ketika “istisqa” (memohon hujan) menunjukkan belakang kedua tangannya ke arah langit”
(Hadith Sahih, Riwayat Muslim, bab mengangkat kedua tangan ketika berdoa sewaktu istisqa’)

Umumnya, hadith ini menjelaskan bahawa seorang sahabat yang menyaksikan keadaan itu iaitu Anas bin Malik menceritakan bagaimana keadaan Rasulullah saw berdoa ketika istisqa’(memohon hujan).

Setelah diteliti, beberapa pendapat ulama antaranya Imam al-Nawawi dan al-San’ani berpendapat bahawa sunnah menterbalikkan tangan ketika berdoa memohon dijauhkan bala bersandarkan dalil ini. (Lihat kepada Syarah Muslim oleh al-Nawawi dan Subul al-Salam oleh al-San’ani)

Walaupun begitu, ada juga ulama yang berpendapat sebaliknya, antaranya Ibn Taymiyyah dan Ibn Rejab. Mereka berpendapat bukan begitu apa yang dimaksudkan oleh Anas bin Malik. Bagi mereka apa yang dimaksudkan oleh Anas bin Malik adalah Rasulullah mengangkat kedua tangannya terlalu tinggi sehinggakan belakang tangannya terhala ke arah langit. (Lihat kepada Fath al-Bari oleh Ibn Rejab dan al-Mustadrak ’ala Majmu’ al-Fatawa oleh Ibn Taymiyyah)

Mari sama-sama kita teliti, apakah maksud sebenar yang ingin di sampaikan oleh Anas bin Malik. Asas kita adalah hadith Anas bin Malik riwayat Muslim ini.

Ditinjau kepada dirayah al-hadith (fiqh hadith), di dapati kalimah yang digunakan oleh Anas bin Malik adalah (asyara ila) iaitu ’menunjukkan kepada’. Perkataan ’tunjuk’ beerti mengarahkan jari telunjuk kepada sesuatu perkara. Dalam konteks hadith ini, Rasulullah saw menunjukkan (mengangkat dengan tinggi) tangannya ke arah langit.

Ditinjau lagi kepada riwayat lain ada dilaporkan :

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى بْنُ حَمَّادٍ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةَ أَنَّ أَنَسًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حَدَّثَهُمْ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلَّا
فِي الِاسْتِسْقَاءِ فَإِنَّهُ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ

Maksudnya : “ Nabi SAW tidak mengangkat kedua tangannya ketika berdoa kecuali dalam istisqa’. Sesungguhnya Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kelihatan putih ketiaknya.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari, bab sifat Nabi saw)

Kesimpulan awal kita ketahui bahawa Rasulullah saw ketika istisqa’ berdoa dengan mengangkat tinggi tangan mulia Baginda saw ke arah langit sehingga menampakkan putih ketiaknya.

Tetapi adakah seperti yang ditafsirkan oleh Imam al-Nawawi (menterbalikkan tangan) ataupun seperti pendapat Ibn Rejab (mengangkat terlalu tinggi sehigga belakang tangan terarah ke langit)?

Diteliti dengan mendalam lagi, dijumpai pula di sana riwayat lain yang berkaitan doa, iaitu Rasulullah menyuruh kita berdoa menggunakan perut tangan dan bukanlah belakang tangan. Kita lihat riwayat ini :


حَدَّثَنَا أَبُو ظَبْيَةَ أَنَّ أَبَا بَحْرِيَّةَ السَّكُونِيَّ حَدَّثَهُ عَنْ مَالِكِ بْنِ يَسَارٍ السَّكُونِيِّ ثُمَّ الْعَوْفِيِّ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا سَأَلْتُمْ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا

Maksudnya : “Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa) maka mintalah dengan perut tangan kamu, dan jangan kamu meminta menggunakan belakang tangan” (Sunan Abu Dawud, bab al-Dua’, Al-Albani meletakkan hadith ini sebagai Hasan Sahih, lihat kepada Sahih wa al-Dhaif Sunan Abi Dawud)


Setelah meneliti riwayat yang berkaitan dan bahasa, kecenderungan untuk memilih pendapat Ibn Taymiyyah dan Ibn Rejab lebih kuat. Bahkan, Ibn Taymiyyah menyimpulkan bahawa riwayat yang melarang menggunakan belakang tangan ketika berdoa adalah penyelesaian kepada kes ini.

Kesimpulannya, tafsiran yang paling hampir terhadap perkataan Anas bin Malik adalah bukanlah menterbalikkan tangan, tetapi belakang tangan terarah ke langit disebabkan mengangkat tangan terlalu tinggi. Cara berdoa seperti inilah disebut oleh Ibn Abbas sebagai Ibtihal.

Wallahualam…

Sumber :

Read more...

Menterbalikkan Tapak Tangan Ketika Berdoa Tolak Bala

Satu isu lagi yang timbul yang agak menyesakkan nafas para imam dikampung-kampung bila membaca doa kenduri tahlil arwah , doa selamat, doa qunut nazilah dan sebagainya. Bila tiba ayat tolak bala biasanya tapak tangan diterbalikkan.. maka lama sudah amalan begitu telah diwarisi tanpa panjang bicara. Tiba-tiba heboh diperkatakan sebagai bida'h , dilarang Nabi , tidak ada asal usulnya.

Marilah kita lihat sedikit dalil mereka yang telah membid'ahkan amalan terbalik tangan dalam berdoa ini.

Mereka menunjukkan satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Abi Daud didalam Sunan beliau :

{Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah ta'ala , hendaklah kamu meminta dengan tapak tangan , JANGAN DIBELAKANGKAN nya, kemudian jangan kamu letakkannya bahkan hendaklah sapu kemuka , kerana yang demikian itu dijadikan oleh Allah ta'la padanya BARAKAH.} - tajzib athraf.. Sunan Abi Daud m.s. 78 juz 2 hadis no 1486.

Berdasarkan hadis ini , telah dikatakan bid'ahlah menterbalikkan tapak tangan ketika membaca doa misalnya " Allahummad fa' anna minl bala..."

Sepatutnya tidaklah begitu. Sebab hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujjah dikeranakan ia hadis yang bermasalah... masalahnya adalah Sulaiman bin Abdil Hamid al Bahrani. Beliau sekalipun telah dithiqahkan oleh sebahagian ulamak, tetapi telah meriwayatkan hadis tersebut dengan kaedah Wijadah yang munqotia'h. Wijadah pada asasnya tidak ada masalah, tetapi jika tiada keizinan dari Syekh yang diambil sesuatu hadis itu , maka dikatakan wijadah yang munqotia'h, yang terputus, yang sudah tentu berada dalam kategori dhoif. Sulaiman telah berkata Qaratuhu fi ashl Isma'il ya'ni Ibni Iyas, beliau tidak berkata Qaratuhu fil ashl Ismail an'hu , misalnya yang boleh difahami adanya keizinan meriwayatkan sesuatu catitan hadis. .. sila semak Syarah Abi Daud -Bazlul Majhud- Al Allmah Khalil Ahmad as-Shahranfur,juz 7 sohifah 336 , cetakan Darul Fikar Bairut.

Terdapat satu lagi hadis yang berlawanan dengan hadis perintah larangan menterbalikkan tapak tangan tersebut, juga riwayat Imam Abu Daud, tapi sayangnya juga dhoif. " Daku melihat Rasulullah s.a.w berdoa begini , dengan perut tapak tangannya dan belakang keduanya( terbalik)." Kaedah Usul Fiqah menetapkan " Iza tanaza' a thasaqotha" apabila berlawanan kedua dalil (jika tidak mungkin dihimpunkan, dikompromikan) maka gugurlah kedua-duanya dari istidlal (dibuat dalil). Oleh yang demikian, disebabkan keDhaifan keduanya dan berlawanan tanpa boleh dihimpunkan , para pemuka mazhab kita telah meninggalkan hadis tersebut dari diamalkan , bahkan kembali beramal dengan qiyas atau mafhum hadis-hadis sahih berkenaan masalah ini.

Oleh itu jika kita memeriksa fatwa-fatwa para pemuka mazhab Shafie dalam soal ini , mereka tetap menghukum sunat menterbalikkan tangan ketika begitu.

Lihat saja Imam Ibnu Hajar dalam Fathul Baari, Imam Nawawi dalam Syarah Muslim, Baa Alawi dalam Bugyatul Mustarsidin dan lain. wallahu a'lam.

Satu kritikan
:
Terdapat satu hadis yang dinilai Hasan atau Jayyid riwayat at Thobarani yang boleh menjadi syahid kepada hadis Abi Daud tersebut " Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah ta'ala , hendaklah kamu meminta dengan tapak tangan , JANGAN DIBELAKANGKAN nya" , menurut al- Haithami dalam Majma' Zawaid "Rijalnya adalah rijal yang Sohih melainkan Ammar bin Khalid, Dia thiqoh".
Jawab:
Ini menunjjukan ikhtilaf pada Ammar bin Khalid, tapi al-Haithami tetap menilainya sebagai thiqah.
Soalnya , terdapat satu lagi hadis didalam Majma' Zawaid , " Adalah Nabi , apabila BERDOA, baginda menjadikan (menadahkan) tapak tangannya, apabila MEMOHON PERLINDUNGAN, baginda menjadikan (menggunakan) belakang kedua tapak tangannya ". Imam Ahmad r.a telah mentakhrijkannya dalam al-Musnad beliau, kemudian al-Haithami telah mengulas dalam Majma'nya " Isnadnya adalah Hasan", begitu juga Imam Sayuthi dalam Faddhu al-Wiaa' mengatakan ianya Hasan. Walaupun masih ada kritikan pada isnadnya , kedua mereka tetaplah mengatakan hadis tersebut adalah "Hasan".
Perkara keduanya, berdoa dan menolak bala adalah dua perkara yang berbeza.

Dalam keadaan begitu , siapakah yang jadi marji' kita dalam keputusan ?. nak pakai rasa-rasa kita ke , nak pakai Imam Nawawi, Imam ibnu Hajar al-Asqolani yang mengatakan Ada wajahnya menterbalikkan tangan ?....

1. Al-Allamah al-Habib Ba Alawi dalam Bugyatul al- Mustarsyidin..di "Sunan al sholah"..


مسالة ك. نقل الخطيب عن الفتوى الرملى أنه لا يسن قلب الكفين فى الدعأ القنوت عند قوله وقنا شرما قضيت اذ الحركة فى الصلاة غير مطلوبة بل يكره وجزم الشوبرى و ح ل بندبه قالا لأن محل كراهة الحركة فيما لم يرد والمفهوم من ظاهر كلام ابن حجر وصريح كلام م ر أن كل داع فى قنوت الصلاة أو فى غيرها ان دعا برفع ما نزل به من بلاء جعل ظهر كفيه الى السمآء من أول القنوت الى آخره أى قنوت كان وان كان بصيغة الطلب كاللهم اسقنا غيثا مغيثا الخ لأن المراد بقولهم برفع بلاء اذا كان المقصود منه رفع البلاء ويؤيده التصريح بندب رفع اليدين فى حال الثناء مع أنه لادعاء فيه


(Ditanya kepada al-Allamah al-Muhaqqiq Muhammad bin Sulaiman al Kurdi al-Madani ): Telah menukilkan oleh Sheikh Khatib dari fatwa Sheikh Ramli , bahawa tidak disunatkan menterbalikkan dua tapak tangan ketika berdoa qunut ketika membaca "Wa qina syarrimaa qadaith ", kerana gerakan dalam sembahyang adalah tidak diperlukan bahkan dimakruhkan . Telah menjazamkan oleh al-Allamah al-Syubari dan Al-Halabi dengan SUNATNYA. Kedua mereka berkata: "Kerana tempat makruh gerakan adalah pada perkara yang tidak diwaridkan, padahal mafhum dari zahir kalam Sheikh Ibnu Hajar dan Sorih kalam Sheikh Ramli {Bahawa sesiapa yang berdoa qunut sembahyang atau selainnya , jika berdoa untuk menolak sesuatu bala yang turun , TERBALIK kanlah kedua tapak tangannya ke langit, dari permulaan qunut hingga akhirnya , pada sebarang jenis qunut, sekalipun dengan mengucapkan lafaz jenis tuntut, seperti Allamhumma ghisna.. kerana yang dimaksudkan dengan kenyataan para Fuqaha dengan kata mereka "Mengangkatkan bala , apabila menolakkan bala"}.

بغية المسترشيدين- العلامة باعلوى مفتى الديار الحضرمية . رحمه الله ونفع بعلومه آمين


Sumber :
Link 1

Read more...

Sekufu Dalam Perkahwinan

Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud :

"Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana".

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa ".

Kufu berpunca daripada lima sebab :

* Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
* Merdeka bukan hamba .
* Keturunan.
* Pekerjaan.
* 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )

Pembentukan keluarga memainkan peranan penting dalam agama Islam. Jadi apabila Islam menggalakkan sekufu, ini bermakna Islam melihat lebih jauh lagi mengenai peranan sesuatu keluarga itu. Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara di antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara, hanya akan menimbulkan berbagai-bagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak. Bahkan sekiranya tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinannya.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.

"Sekufu didefinisikan oleh para ulama sebagai 'al musawah wal muqarab' atau yang bermaksud persamaan atau hampir. "Yang dimaksudkan dengan persamaan atau hampir ini lebih ditekankan dalam Islam kepada pihak perempuan. "Jadi di sini, sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

"Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Dalam hal inilah, Islam melihat kafaah sebagai satu aspek yang perlu dijaga.

Menurut ulama fiqah, keseluruhan mereka mengambil kira kepentingan sekufu, sehingga didapati Mazhab Syafie meletakkan sekufu sebagai hak seorang perempuan dan hak walinya. Sementara bagi Mazhab Hanafi, walaupun tidak ada wali mujbir (wali yang boleh memaksa anaknya untuk berkahwin atau tidak berkahwin, misalnya ayah dan datuk) seorang perempuan itu boleh mengahwinkan dirinya tanpa wali.

Namun wali mujbirnya iaitu bapanya contohnya, masih berhak untuk membubarkan perkahwinan itu sekiranya mendapati pasangan tersebut tidak sekufu. Sebagaimana dijelaskan di atas bahawa sekufu merupakan hak kepada wanita dan walinya, maka sekiranya salah seorang daripada orang yang berhak ini menghalang perkahwinan disebabkan tidak sekufu, maka perkahwinan itu tidak boleh dilangsungkan.

Contohnya, seorang perempuan membawa calon suaminya tetapi tidak dipersetujui oleh bapanya sebagai seorang wali mujbir dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anaknya, maka alasan itu dianggap munasabah dan hak bapanya sebagai wali tidak boleh dipindahkan kepada wali hakim atau wali selepasnya. Begitu juga sekiranya seorang perempuan yang dipaksa berkahwin oleh wali mujbirnya, sama ada bapa ataupun datuk tetapi dia menolak dengan alasan bahawa perkahwinan ini tidak sekufu, maka dia berhak untuk menghalang perkahwinan ini.

Jelas di sini, bahawa semua mazhab meletakkan sekufu sebagai satu perkara yang penting. Jumhur mengatakan, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan, bukannya syarat sah perkahwinan tetapi tidak dinafikan bahawa sekufu penting dalam perkahwinan. Sementara menurut Imam Shirazi, apabila seorang wanita ingin berkahwin dengan orang yang tidak sekufu, tidak menjadi kewajipan kepada wali mengahwinkannya. Manakala, bagi Imam Imrani pula, pemerintah tidak boleh mengambil alih ataupun wali tidak boleh dipaksa untuk mengahwinkan anak perempuan dengan pasangannya yang tidak sekufu.

Sekufu adalah hak kedua-dua belah pihak, iaitu calon isteri dan walinya. Pun begitu ia boleh digugurkan dengan syarat dipersetujui oleh kedua-dua. Ini dijelaskan lagi oleh hadis riwayat Aisyah, Rasulullah s.a.w. bersabda: Pilihlah olehmu untuk keturunan kamu dan bernikahlah dengan orang yang sekufu. (Riwayat al-Baihaqi)

Manakala di dalam kitab Fathul Qadir, "Tidak boleh menikahkan seorang perempuan itu kecuali walinya dan mereka tidak akan menikahkannya kecuali yang sekufu". Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang hamba bernama Burairah yang dimerdekakan oleh Aisyah r.a. Setelah dia dimerdekakan, Rasulullah bertanya kepadanya kerana dia telah berkahwin dengan seorang hamba. Baginda memberi pilihan kepada Burairah sama ada mahu meneruskan perkahwinannya atau bercerai. Nyatalah bahawa Rasulullah begitu menitikberatkan soal sekufu, memandangkan suami Burairah masih menjadi hamba berbanding dirinya yang sudah merdeka. Kata Dr. Amilah lagi, ayat al-Quran yang begitu terang menceritakan tentang sekufu ini tidak ada. Cuma yang ada ialah ayat yang agak hampir dalam masalah sekufu ini, iaitu surah an-Nur ayat 26, Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (juga), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)".

Malah kepentingan sekufu ini tidak terhad kepada gadis dan wali sahaja, wanita yang berstatus janda juga perlu dititikberatkan soal sekufu.

Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Ali bin Abi Talib, Tiga perkara jangan kamu tangguhkan. Pertama, menunaikan sembahyang apabila masuk waktunya. Kedua, menguruskan jenazah, dan ketiga, janda sekiranya didapati ada lelaki yang sekufu dengannya, maka langsungkanlah pernikahannya. (Riwayat Tirmizi) .

Menyedari kepentingan sekufu ini, adalah di sarankan kepada ibu bapa dan remaja perempuan, agar mengambil berat mengenainya tetapi jangan bersikap terlalu rigid.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Apabila datang pinangan kepada kamu daripada orang-orang yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dengannya. Sesungguhnya, sekiranya kamu tidak berbuat demikian, akan menyebabkan fitnah dan kefasadan (kerosakan) di muka bumi.

Menyentuh mengenai tahap pendidikan ujar Dr. Amilah, aspek pendidikan boleh dikaitan dengan profesion atau kerjaya dan penghayatan agama (ilmu agama). Contohnya sebuah kisah yang berlaku pada zaman baginda Rasulullah. Bilal bin Rabah (bekas hamba) berketurunan Habshi telah dikahwinkan dengan seorang wanita Ansar.

Wanita tersebut mengetahui bahawa Bilal bukan berbangsa Arab. Namun, Rasulullah mengenepikan soal darjat antara kedua-duanya dan mengatasinya dengan cara memberi kefahaman dan penghayatan agama.

Begitu juga kisah sekumpulan orang-orang Ansar yang berkata kepada Ali bin Abi Talib, "Alangkah baiknya kalau kamu memiliki Fatimah." Lalu Ali menemui Rasulullah s.a.w. untuk meminang puterinya, Fatimah. Setelah mengucapkan salam beliau ditanya oleh Rasulullah s.a.w.: Apa hajatmu wahai putera Abi Talib? Jawab Ali, Aku hendak melamar Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. Rasul menjawab: Marhaban Wa Ahlan. dan tidak berkata apa-apa lagi. Maka Ali keluar menemui sekumpulan orang-orang Ansar yang sedang menunggunya tadi. Mereka bertanya, "Berita apa yang kau bawa?" Ali menjawab, "Aku tidak tahu kerana baginda hanya mengatakan kepadaku, Marhaban."

Daripada peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa sekufu dalam agama merupakan aspek penting dalam pemilihan jodoh.

"DUDUK sama rendah, berdiri sama tinggi', 'Sama cantik sama padan' dan `Bagai pinang dibelah dua".

Itulah kepelbagaian ungkapan yang sering benar diucapkan apabila hendak memuji kecantikan dan ketampanan sepasang pengantin baru. Luahan perasaan sebegini jelas membuktikan naluri kita sebagai manusia yang gemar kepada keindahan, dan menolak sesuatu yang tidak sepadan atau tidak secocok.

Apatah lagi, perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua orang insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan berumah tangga, yang mengharapkannya kekal sepanjang hayat.

Lantaran itu, sebaiknya kedua-duanya setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari. Kesesuaian atau sefahaman dalam memilih suami mahupun isteri, merupakan asas dalam membina keluarga Muslim.

Kesesuaian bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan akan tetapi kesamaan atau sefahaman dalam agama turut diambil kira di dalam Islam.
Firman Allah s.w.t. bermaksud: "Hai manusia, se-sungguhnya Kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". (Al-Hujarat: 13)

Sumber :

Read more...
================Far East - Cinta Pertama================

  © Nur Islam are brought to you by Mohd Fahmi bin Hussain 2009

Back to TOP